Soalan
Bolehkah bangun tidur terus ambil wuduk dan solat dengan pakaian yang dipakai semasa tidur? Apakah pakaian tersebut perlu ditukar terlebih dahulu?
Jawapan
Melaksanakan solat dengan menggunakan pakaian yang sama ketika tidur dihukumkan sebagai harus selagi mana ia suci daripada najis dan menutup aurat dengan sempurna.
Bagaimanapun, sekiranya pakaian yang dipakai ketika tidur itu telah terkena najis, maka hendaklah dia membersihkan najis itu terlebih dahulu dan ia tetap boleh dipakai ketika solat.
Jika seseorang itu mengesyaki pakaian terkena najis, namun tiada bukti atau kesan yang menunjukkan ia terkena najis, maka buanglah perasaan syak tersebut dan pakaian tersebut boleh dipakai untuk solat.
Ini kerana dalam kaedah Fiqh menyebutkan, asal sesuatu perkara itu suci selagi tiada bukti yang menunjukkan ia terkena najis.
Adapun menukar pakaian tidur kepada pakaian yang lebih baik atau pakaian yang khusus untuk solat adalah lebih digalakkan kerana ia adab seorang hamba ketika beribadah kepada ALLAH SWT.