[VIDEO] Landskap ekonomi negara lebih baik jika penjawat awam cekap laksana tugas - PM

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menzahirkan keyakinan bahawa peta dan landskap ekonomi negara akan berubah ke arah lebih baik sekiranya penjawat awam cekap dan pantas dalam melaksanakan tugas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan sekiranya semua penjawat awam mengamalkan amalan berkenaan dalam tugas seharian, Malaysia akan menjadi perhatian dunia dari segi pelaburan.

Iklan
Iklan
Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Jadi saudara, tumpu ini dan saudara lihat, peta ekonomi, landskap ekonomi kita akan berubah dan saya yakin. Penjawat awam mesti tumpu perkara itu, yang lain sepak terajang (dalam politik), itu serah kepada saya dan kawan-kawan.

"Saudara saudari kena tumpu (hal) ini, kerana Malaysia ada keupayaan sekarang bukan sahaja dari segi pertimbangan antarabangsa tetapi juga harapan dari segi pelaburan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini pada Selasa.

Anwar berkata, keyakinan negara luar terhadap Malaysia dapat dilihat menerusi penyertaan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan dari lebih 60 negara.

Iklan

"Ini jarang berlaku kalau dianjur oleh negara-negara berkembang dan membangun seperti Malaysia," katanya.

Semalam, Anwar merasmikan Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hingga 9 Mei ini.

Secara keseluruhan, DSA dan NATSEC Asia 2024 menerima penyertaan 1,324 syarikat daripada 60 negara manakala 34 negara mempunyai Pavilion mereka sendiri termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali dan Amerika Syarikat.

Mengenai penjawat awam yang tidak serius dan komited dalam menjalankan tugas seharian, Anwar berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada golongan berkenaan.

"Sebab itu saya keras kadang-kadang dengan segelintir kecil penjawat awam yang agak menyimpang daripada semangat ini.

"Saya selalu gesa supaya masyarakat dan media berlaku adil... jangan umpamakan sikap dan salah laku segelintir kecil ini menggambarkan disiplin dan semangat penjawat awam (secara keseluruhan)," katanya.

Selain penyertaan menggalakkan dalam DSA dan NATSEC Asia 2024, Anwar berkata, Malaysia turut menerima pelaburan daripada Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan ACWA Power (ACWA).

Baru-baru ini, Microsoft mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (AS$1=RM4.73) dalam tempoh empat tahun akan datang, manakala AWS membuat pelaburan sebanyak RM25.5 bilion di Malaysia dan ACWA Power akan melabur lebih AS$10 bilion di Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Anwar berkata, prestasi pelaburan luar yang bakal menambahkan hasil pendapatan negara merupakan antara faktor diambil kira dalam membuat keputusan berkaitan kenaikan gaji penjawat awam.

"Ada orang kata, ia bukan dasar ekonomi yang rasional, bagaimana boleh belanja lebih untuk penjawat awam dan pada masa yang sama mahu mengurangkan hutang (negara)... saya rasa ia adalah bagaimana kita menguruskan ekonomi kita dan kepakaran yang ada, yang pandai saudara, saya hanya jurucakap," katanya.

Pada 1 Mei lepas, Anwar mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan antara tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai Disember ini, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!