KKM beri jaminan dedah data AEFI vaksin Covid-19 - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly ketika bertemu pengamal media selepas prapelancaran The Malaysia International Healthcare Megatrends 2024 pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan mendedahkan semua data berhubung kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin Covid-19 pada satu waktu yang akan ditetapkan, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tanpa menyebut jangka masa muktamad, katanya ia menjadi tanggungjawab beliau selaku Menteri Kesihatan malah pernah membangkitkan di mesyuarat pasca Kabinet agar laporan AEFI didedahkan kepada umum.

Iklan
Iklan

"Pokoknya, kami (KKM) tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan AEFI kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat sebarang laporan mengenai kes trombosis dengan sindrom"thrombocytopenia" yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 AstraZeneca di Malaysia, seperti dilaporkan di Indonesia semalam.

Iklan

Mengikut laporan Bernama semalam, Suruhanjaya Nasional untuk Kajian dan Pencegahan Peristiwa Mudarat Berikutan Imunisasi bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) Indonesia mengesahkan tiada laporan diterima mengenai kes trombosis dengan sindrom"thrombocytopenia'’ yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 AstraZeneca di negara itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah menerima penjelasan daripada firma farmaseutikal AstraZeneca berhubung kesan sampingan vaksin Covid-19, beliau berkata setakat ini masih menunggu penjelasan rasmi berkenaan perkara itu.

Iklan

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata syarikat itu harus bertanggungjawab dengan mengemukakan penjelasan yang teliti dan telus bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia bagi mengelak berlakunya kebimbangan awam.

Mengenai MIH Megatrends, beliau berkata persidangan tiga hari itu akan menjadi satu platform yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri kesihatan bagi berkongsi kepakaran mengenai strategi kesihatan terkini dan penyelesaian terbaik menerusi kerjasama pintar pelbagai pihak.

" Hasil daripada Megatrends akan menjadi penting untuk memajukan sains perubatan, meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, memupuk kerjasama dan menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan profesional,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara KKM dan KPJ Healthcare Berhad yang akan menjadi rakan strategik kementerian dalam menjayakan MIH Megatrends yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!