Pengalaman seumur hidup, hampir bersalin ketika bertugas

Iklan
Roslina bersama Siti Afia menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian mengenai peristiwa hampir bersalin ketika bertugas.

JEMPOL - Enam tahun berlalu, pengalaman melahirkan anak bongsu ketika bertugas tidak akan dilupakan oleh seorang ibu sehingga anaknya, Siti Afia Nano mendapat panggilan manja 'Siti Peladang, Penternak dan Nelayan'.

Kakitangan kerajaan, Roslina Janian, 44, berkata, Siti Afia lahir pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sembilan di Seremban, pada 29 Mac 2018.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian dia sempat dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) menaiki ambulans yang berada di lokasi program di Seremban ditemani suaminya.

"Kalau ikut tarikh, saya sepatutnya bersalin lagi dua minggu tetapi tidak sangka pula awal sebab berdasarkan pengalaman melahirkan abang dan kakaknya tidaklah jauh beza daripada tarikh jangkaan.

Iklan

"Beberapa hari sebelum itu, saya ditahan di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah berikutan rasa seperti nak bersalin, tetapi saya dibenarkan pulang kerana tiada tanda-tanda bersalin.

"Kali ini berbeza dan sejarah buat kami sekeluarga selain ia menjadi kenangan yang akan diceritakan seumur hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, anaknya kini mengikuti kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Palong 3 di sini dan jolokan 'Siti Peladang, Penternak dan Nelayan' sedikit sebanyak meriuhkan suasana kediamannya sekeluarga.

"Alhamdulillah, Siti Afia sihat dan kami berharap dia akan berjaya di dunia dan akhirat tidak kiralah bekerja dalam bidang apa pun termasuklah bidang peladang, penternakan atau nelayan," katanya secara berseloroh.

Pada 2018, Sinar Harian melaporkan, Roslina sempat bergambar kenangan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang ketika itu merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum perasmian program.

Malah Roslina sempat menyelesaikan tugasnya dalam program berkenaan sebelum tiba-tiba rasa air ketubannya pecah kira kira jam 11 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!