Projek ECRL: 'Jangan ambil mudah, salahkan pentadbiran terdahulu'

Iklan
Laporan Sinar Harian

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor diingatkan tidak menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu berhubung isu pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah berhubung isu dibangkitkan waris yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Sekiranya ada keperluan untuk meneruskan jajaran lama, maka seharusnya pendekatan yang diambil ialah dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh atau pun mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, di sini pada Ahad malam.

Iklan

Bagaimanapun, Mohamed Azmin memberitahu, kerajaan negeri pada masa ini perlu mengambil kira pandangan dan pendapat penduduk asal kampung berkenaan

"Malangnya kerajaan negeri pada hari ini mengambil sikap angkuh dan sombong tidak mahu bertemu atau berdialog dengan penduduk

Iklan

"Penduduk tidak mendapat maklumat sebenar, apatah lagi dengan pampasan yang sewajarnya dibayar kepada mereka," tambah beliau.

Justeru, katanya, pembangkang sentiasa menyokong apa jua usaha termasuk projek pembangunan di negeri ini.

"Bagaimanapun, projek sensitif seperti ini sudah tentulah rakyat bantah. kerajaan negeri harus mempunyai sikap untuk mendengar bantahan dan keluhan rakyat," ujarnya.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari Selangor mengingatkan pembangkang tidak mengambil kesempatan berhubung isu pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Mengulas mengenai kenaikan cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohamed Azmin memberitahu, perkara itu antara rungutan disuarakan penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, meskipun kadar cukai taksiran kekal pada 5.5 peratus tetapi jumlah taksiran itu melambung tinggi seperti yang didedahkan beliau semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

"Bagaimana dalam keadaan negara sedang dalam proses pemulihan akibat pandemik, kerajaan negeri menaikkan kadar cukai taksiran mendadak?," soalnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri boleh mengenakan cukai secara berperingkat, namun perlu memastikan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor efektif dalam melaksanakan khidmat perbandaran.

"Malangnya, PBT di Selangor tidak mempunyai kecekapan contohnya isu jalan tidak diturap, masalah sampah yang tidak dikutip, jalan dan longkang tidak diselenggara.

"Sebelum kerajaan negeri menaikkan cukai, isu-isu ini sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!