39 peratus rakyat pilih berhenti kerja, jika majikan minta lebih banyak masa di pejabat

Iklan
39 peratus rakyat pilih berhenti kerja jika majikan minta habiskan lebih banyak masa di pejabat. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Dua daripada lima rakyat di negara ini iaitu bersamaan dengan 39 peratus memilih berhenti kerja sekiranya majikan meminta untuk menghabiskan lebih banyak masa berada di pejabat.

Jika dibandingkan dengan enam bulan lalu, 52 peratus rakyat Malaysia mengatakan majikan mengharapkan mereka bekerja melebihi waktu pejabat, 17 peratus lebih tinggi daripada purata global.

Iklan
Iklan

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, kaji selidik tersebut juga mendedahkan bahawa trend berkenaan amat terkenal dalam kalangan Gen Z iaitu sebanyak 49 peratus manakala kategori Milenium 47 peratus.

Menurut beliau, fleksibiliti perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk aturan kerja yang menggalakkan ekuiti meskipun majikan menetapkan peraturan ketat untuk hadir ke pejabat dan pengiktirafan pengalaman pekerja.

Iklan

"Kebanyakannya juga tidak keberatan bekerja dari pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.

"Ini kerana berdasarkan satu kajian, dua daripada lima rakyat Malaysia telah membuat perubahan hidup seperti berpindah atau mendapatkan haiwan peliharaan kerana menjangkakan pilihan kerja fleksibel yang berterusan selepas wabak Covid-19.

Iklan

"Terutamanya 51 peratus dalam kalangan Gen Z dan 47 peratus daripada Milenium. Semasa pandemik, mereka boleh bekerja lebih baik dari rumah, ini mengubah persepsi terhadap kerja di pejabat kerana tak perlu berulang-alik atau tanggung sewa mahal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan kajian oleh Randstad Malaysia bermula 23 Oktober hingga 11 November 2023 melibatkan 27,000 responden berumur 18 hingga 67 tahun dari 35 negara.

Fahad turut memaklumkan, disebabkan perkara tersebut, pencari kerja semakin lantang dalam memilih pekerjaan bahkan menolak jawatan dengan gaji lebih tinggi yang memerlukan catatan kehadiran harian ke pejabat.

Tambah beliau, walaupun terdapat peningkatan pilihan kerja jarak jauh, majoriti rakyat Malaysia iaitu 86 peratus lebih suka bekerja dari pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.

"Selain itu, 14 peratus lebih suka bekerja dari pejabat kurang daripada dua hari seminggu.

"Walaupun mereka mengharapkan fleksibiliti kerja, namun realitinya berbeza. Satu daripada dua responden menunjukkan majikan kenakan mandatori lima hari polisi kerja pejabat, hanya sembilan peratus bekerja kurang dua hari seminggu.

"Satu daripada 10 responden mengatakan bahawa majikan mereka tidak mempunyai polisi pekerjaan yang fleksibel,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahad turut menjelaskan, 52 peratus rakyat di negara ini enggan menerima pekerjaan sekiranya syarikat tidak proaktif dalam meningkatkan kepelbagaian ekuiti.

Menurut beliau lagi, meskipun ekuiti, kepelbagaian dan kemasukan bukan keutamaan ketika mencari pekerjaan baharu, namun ia amat penting bagi pencari kerja moden.

"Bagi tujuan ini, 67 peratus menyembunyikan latar belakang kerana mahu mencari organisasi yang menyediakan persekitaran selamat di mana mereka boleh menjadi diri sendiri.

"Menerusi kaji selidik terbabit, responden menduduki lima dasar ekuiti, kepelbagaian dan keterangkuman paling penting dalam pekerjaan semasa atau akan datang.

"Latar belakang yang pelbagai dalam kepimpinan (47 peratus), ekuiti gaji jantina (45 peratus), tenaga kerja pelbagai (44 peratus) cuti keluarga untuk semua pekerja (40 peratus) dasar bukan diskriminasi di laman web atau iklan pekerjaan (31 peratus),” ulas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!