Penjawat awam bermasalah, lembab tak naik gaji secara automatik - Anwar

Iklan
Anwar bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun pada Ahad. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Penjawat awam yang bermasalah dan lembab dalam menjalankan tugas berkemungkinan besar tidak akan dinaikkan gaji secara automatik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak adil untuk mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan baik menerima kenaikan yang sama seperti penjawat awam yang efisien.

Iklan
Iklan

"Tidak benar apabila dikatakan kita naikkan gaji dengan kekalkan kaedah yang ada, tidak. Sekarang ini ikut tahun, kadang-kadang orang itu lembab bekerja, dia tak hadir dan ada masalah disiplin tetapi terus dinaikkan gaji secara automatik.

"Jadi kita nak ingatkan, bahawa ia tidak automatik, mungkin automatik bagi 95 peratus, empat lima peratus yang lembab atau ada masalah, kita akan perkenalkan kaedah agar mereka dinafikan.

Iklan

"Tidak adil orang bekerja bertungkus-lumus, dapat kenaikan, orang yang malas dan lembab, pun dapat kenaikan secara automatik. Jadi harus diberikan pertimbangan," katanya.

Beliau menambah, perkara itu akan diumumkan sekali gus dengan sistem persaraan supaya pemilihan (kenaikan gaji) itu berdasarkan prestasi.

Iklan

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Pulau Pinang di sini pada Ahad.

Kata Anwar, kerajaan berpendapat masalah negara antaranya beban hutang serta berlakunya rasuah sebelum ini tidak wajar ditanggung oleh penjawat awam dengan tidak menaikkan gaji mereka.

"Kita mengumumkan kenaikan yang besar, untuk 2025 akan mencecahkan cecah RM10 bilion. Kerajaan berani membuat keputusan itu kerana saya tidak fikir masalah beban hutang, kelembaban kita, rasuah yang berlaku, ketirisan, harus dibebankan kepada penjawat awam.

"12 tahun penjawat awam menunggu untuk dikaji semula dan dinaikkan gaji mereka. Mereka juga sanggup terima perubahan, lebih cepat bekerja, lebih bersungguh-sungguh, kadang-kadang kerja lebih waktu. Sepatutnya pimpinan negara mengiktiraf jasa mereka dan menaikan gaji sewajarnya," katanya.

Dengan kenaikan terbesar yang diumumkan itu, Anwar berharap ia akan sejajar dengan anjakan penjawat awam dalam meningkatkan prestasi mereka.

"Kenaikan ini kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia, pembangkang yang pertikaikan, bila kita cerakinkan, dia akan tahu. Kenaikan tahap yang lebih rendah akan mencecah lebih daripada 30 peratus.

"Kerana kita tidak mahu, ketika kita mengiktiraf peranan pengurusan tertinggi, tetapi kita tak mahu kesenangan itu melebar. Maka kita berikan kadar upah yang lebih tinggi sekali gus dengan 'reform' oleh penjawat awam dari segi efisien, keupayaan meningkatkan prestasi kerja mereka," katanya.

Sebelum ini, Anwar memberitahu, kenaikan gaji penjawat awam kumpulan rendah akan mencecah 20 hingga 40 peratus mengikut perincian sebenar walaupun pengumuman semalam hanya melibatkan kadar kenaikan lebih 13 peratus.

Beliau berkata, sistem kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah bersifat lebih munasabah yang mana golongan penjawat awam pangkat tinggi akan naik sedikit, manakala mereka berpangkat rendah pula menikmati banyak kenaikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!