Sanusi ucap terima kasih, PM lulus peruntukan permohonan Kedah

Iklan
Anwar (kanan) dan Muhammad Sanusi (kiri) ketika mesyuarat khas pembangunan negeri pada Sabtu.

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan untuk Kedah membina infrastruktur di Kampung Tersusun yang akan disediakan oleh kerajaan negeri kepada penduduk miskin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Persekutuan akan menyediakan kos untuk pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya di 1,200 lot tanah bagi setiap daerah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan berkenaan membabitkan puluhan juta ringgit dan Anwar meluluskan serta-merta permohonan kerajaan negeri itu.

"Kerajaan negeri bina rumah kepada penduduk miskin atas tanah tersebut, Perdana Menteri bantu bangunkan infrastruktur di situ. Kita mohon bantuan Persekutuan berkaitan menyediakan infrastruktur dan PM setuju,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat khas pembangunan negeri bersama Perdana Menteri di Wisma Darul Aman, pada Sabtu.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, isu lain yang dibincangkan ialah perumahan Bukit Malut yang sudah lama tertangguh.

"Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) cadangkan supaya disegerakan penyelesaian isu Bukit malut. Isu ini perlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri dan kita bersedia tawarkan apa keperluan yang perlu.

Iklan

"Di situ ada tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB), ada tanah rizab kerajaan dan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Projek berkenaan bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka perlu selesaikan, kita sedia bantu mana yang boleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang mengadakan lawatan kerja ke Kedah.

"Ada permohonan yang beliau terus beri kelulusan, mana perlu kepada perincian Kementerian berkaitan akan ditanya terus kepada Ketua Setiausaha (KSU) terbabit, jadi cepatlah urusan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, perkara lain yang dibincangkan termasuk projek yang perlu diberikan keutamaan selain membentangkan senarai hajat atau ‘wishlist’ negeri untuk diselaraskan dengan Persekutuan.

"Ada peruntukan yang Kedah mohon, antaranya untuk beberapa projek. Saya ada bentangkan lapan projek yang kita senaraikan dan ada berbelas lagi yang tidak disebut namun dimasukkan dalam senarai yang akan kita berikan kepada Perdana Menteri.

"Seterusnya peringkat unit penyelarasan pelaksanaan (ICU) dengan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan selaraskan perkara tersebut,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, serahan set keutamaan kerajaan negeri itu diserahkan secara rasmi untuk pertimbangan Persekutuan.

"Antara lapan projek berkenaan ialah berkaitan pengekalan tanah sawah padi, yang mana kita minta sumbangan fiskal daripada Kerajaan Persekutuan untuk kekalkan kawasan padi,” jelasnya.

Beliau turut bersyukur perbincangan dua hala terbabit berlangsung dengan lancar dan harmoni.

"Suasana berlangsung dalam harmoni antara kerajaan negeri dan Persekutuan, Yang ‘pong pang’ itu isu politik, hanya di pentas ceramah. Namun bila urusan kerajaan dengan kerajaan maka jadi eloklah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!