Kerajaan Madani berkhidmat untuk semua kaum di Malaysia - PM

Iklan
Anwar berucap ketika hadir ke Rumah Terbuka Vaisakhi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia, pada Sabtu. Foto Bernama

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani memberi layanan yang sama kepada semua kaum meskipun mereka hanyalah minoriti di negara ini.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dalam menjadikan Malaysia sebagai negara hebat yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Iklan
Iklan

"Tiada ruginya pun, semalam saya ada perhimpunan Islam yang besar, berpuluh-puluh ribu orang di Perlis. Hari ini saya meraikan Vaisakhi, itu tidak bertentangan kerana sementara kita bawa semangat agama masing-masing, kita mesti bawa sifat kemanusiaan.

"Antara teras dalam konsep Madani ialah ihsan, kemanusiaan dan kita harus berusaha untuk mencapainya,” kata beliau ketika berucap di Rumah Terbuka Hari Vaisakhi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Iklan

Anwar juga berkata, beliau telah meluluskan peruntukan RM200,000 untuk kebajikan komuniti Sikh di Perak.

Perdana Menteri, yang akan ke Kedah selepas majlis itu berkata, beliau akan berkhidmat untuk setiap rakyat Malaysia meskipun ia adalah negeri pembangkang.

Iklan

"Saya dah cover Kelantan, Perlis, petang ini di Kedah dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri untuk melihat masalah air, tebatan banjir serta kemiskinan.

"Bila saya sebut miskin, saya tak kira kaum dan di negeri-negeri di mana ada kemiskinan tegar, saya kata kita mesti bantu dan saya tak mahu kita izinkan ini berlaku,” katanya.

Anwar juga berkata, terdapat sebilangan kecil puak minoriti dalam kalangan masyarakat yang mula menyemai benih perpecahan dan sikap tidak bertoleransi namun Malaysia harus mengekalkan identitinya.

Beliau berkata, meskipun Bumiputera Melayu adalah majoriti, Islam agama persekutuan bersama-sama Bahasa Melayu dan Raja-Raja namun negara ini harus tegas dalam memelihara serta melindungi hak setiap rakyat Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!