Lelaki Pakistan lemas dihanyut kepala air, seorang masih hilang

Iklan
Anggota JBPM membawa naik mangsa warga Pakistan yang ditemukan lemas di Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat. Foto JBPM

SUNGAI BULOH - Seorang warga Pakistan ditemukan mati lemas selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh dekat sini, pada Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa, Tariq Aqib, berusia 27 tahun ditemukan jam 1.12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa lelaki dewasa berada di tebing sungai berkenaan sebelum hilang dihanyutkan kepala air pada petang Khamis.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dipercayai hilang menghala ke Jalan Haji Baei.

Iklan

"Kerja-kerja menyelamat turut menggunakan khidmat anggota unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Pengesan (K9).

"Anggota mula membuat pencarian dari tempat mangsa jatuh sehingga ke Paya Jaras Hilir," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pada jam 1.12 tengah hari, mangsa pertama berjaya ditemukan selepas jambatan Jalan Rahidin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, pasukan penyelamat seterusnya meneruskan pencarian sehingga ke jambatan Kubu Gajah bagi mencari seorang lagi mangsa.

Bagaimanapun katanya, operasi menyelamat terpaksa dihentikan kerana hujan.

Jelasnya, operasi ditangguhkan setelah pemantauan dibuat di sekitar kawasan Pusat Kawalan Operasi (PKOB) jam 5.30 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!