KL Wellness City bangunkan hospital canggih cecah RM1 bilion

Iklan
Dr Dzulkefly menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Hospital 624 katil oleh KL International Hospital Sdn Bhd di KL Wellness City Galeri Bukit Jalil. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] KL International Hospital Sdn Bhd dan KL Wellness City bakal membangunkan sebuah hospital baharu di Bukit Jalil membabitkan kos mencecah RM1 bilion.

Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH) yang dilengkapi fasiliti moden dijangka menyediakan kemudahan perubatan terkini sebaik memulakan operasi pada suku ketiga 2026.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, komitmen pelaburan berkenaan dapat memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk mengembangkan inovasi perubatan termasuk robotik pertama di Malaysia.

Menurutnya, pembangunan berwawasan itu juga melengkapkan usaha kerajaan untuk menjadi pusat sehenti perubatan dan penjagaan kesihatan yang terkemuka di dunia.

Iklan

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif KL International Hospital Sdn Bhd untuk menyediakan kemudahan rawatan perubatan kepada golongan B40 membabitkan peruntukan RM2 juta.

"Sumbangan ini meningkatkan usaha kerajaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh diakses kepada masyarakat kurang berkemampuan,” katanya

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kemudahan 624 katil KLIH di KL Welness City di sini pada Khamis,

Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) melancarkan Hospital 624 katil oleh KL International Hospital Sdn Bhd di KL Wellness City Galeri Bukit Jalil. Foto Bernama

Turut hadir, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dan Pengarah Urusan KL Welness City Sdn Bhd, Datuk Dr Collin Lee.

Pada majlis itu, KL International Sdn Bhd turut memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoA) Biasiswa Kejururawatan bersama enam institusi pengajian yang disaksikan oleh Dr Dzulkefly.

Enam institut pengajian tinggi berkenaan ialah Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP Antarabangsa, Universiti IMU, Kolej Universiti Lincoln, Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Adventist, Kolej Perubatan Antarabangsa (IMC) dan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Oriental Nilam.

Ia membabitkan peruntukan kewangan bernilai RM25 juta untuk menyokong pendidikan pelajar kejururawatan di institusi berkenaan.

Sementara itu, Dr Collin berkata, pemberian sumbangan berkenaan adalah inisiatif syarikat sejajar misi kesejahteraan komuniti dan menyokong matlamat KKM dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan golongan kurang bernasib baik.

"Penajaan ini akan meliputi yuran pendidikan pelajar, elaun sara hidup, dan penginapan serta memastikan graduan berkenaan bekerja di KL International Hospital Sdn Bhd selepas tamat pengajian

"Ianya akan membuka 3,000 peluang pekerjaan dalam usaha memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang bersama profesional muda,” katanya.

Beliau berkata, KLIH yang sedang dalam pembinaan itu bukan saja akan dilengkapi kemudahan terkini tetapi juga ekosistem penjagaan kesihatan yang canggih.

Hospital dengan 624 katil dan berpotensi diperluaskan kepada 1,000 katil itu, akan menawarkan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu termasuk fasiliti kesihatan serta kecergasan.

Ia akan dilengkapi dengan dengan teknologi canggih dan peralatan perubatan terkini seperti 22 dewan bedah (OT) termasuk angio hibrid, pengimejan resonans magnetik (MRI) OT serta pembedahan robotik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!