Pesara rugi RM25,000 ditipu bantuan kerajaan tidak wujud

Iklan
Mangsa diminta untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dan menyerahkan wang tunai tersebut. Gambar hiasan.

PETALING JAYA - Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan bantuan kerajaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima laporan berkaitan kes itu pada 17 April lalu.

Iklan
Iklan

"Mangsa seorang pesara berusia 78 tahun telah didatangi oleh seorang lelaki warga tempatan yang menawarkan untuk menguruskan bantuan kerajaan.

"Suspek telah mengambil mangsa di rumahnya di Seapark, sebelum membawanya ke sebuah bank tempatan dengan menaiki kenderaan jenis Lamborghini warna hijau.

Iklan

"Suspek telah meminta mangsa untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dan menyerahkan wang tunai tersebut.

"Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di kawasan Kepong sebelum ditinggalkan. Suspek telah menghilangkan diri," katanya.

Iklan

Shahrulnizam berkata, selain memerangkap mangsa dengan menawarkan bantuan kerajaan, suspek yang memiliki 31 rekod jenayah itu turut menawarkan pelaburan kerajaan negeri.

"Mangsa yang berminat akan mengeluarkan wang simpanan untuk melabur.

"Setakat ini ada lima kes dilaporkan di Petaling Jaya membabitkan kerugian ⁠RM395,000," katanya.

Beliau berkata, suspek disyaki bergiat aktif sejak 10 tahun lalu itu menyasarkan mangsa golongan warga emas.

"Suspek juga pernah dituduh di mahkamah sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut Shahrulnizam berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Lau Kah Wing berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

"Alamat terakhir lelaki itu adalah di Damansara Suria, Taman Kip, Kuala Lumpur.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan kes ini kepada pegawai penyiasat Inspektor S Gashwinpal Singh di talian 016-3649168," katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat agar lebih peka dan tidak terpedaya dengan sebarang penawaran dan tipu daya daripada terjerat dengan kata-kata manis yang boleh merugikan kita sekaligus menjadi mangsa penipuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!