Mayat lelaki bertatu terapung mangsa kes bunuh

Iklan
Laporan Sinar Harian berkenaan penemuan mayat terapung

SEREMBAN - Mayat lelaki terapung yang ditemukan di bawah jambatan berdekatan sebuah stesen minyak di Paroi di sini pada Sabtu lalu merupakan mangsa kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ia susulan hasil bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan retak di bahagian kepala dan patah rahang yang terjadi ketika mangsa masih hidup.

Iklan
Iklan

"Pada 27 April lalu jam lebih kurang 2.05 petang pihak polis telah terima maklumat awal daripada orang awam menyatakan telah menjumpai satu lelaki dipercayai warganegara asing.

"Orang awam yang melalui kawasan tersebut telah terhidu bau busuk dan telah nampak satu mayat dalam keadaan terapung di dalam sungai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal polis keadaan mayat berseluar panjang tanpa baju, mempunyai tatu pada lengan sebelah kiri, kanan dan dada serta tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati.

Berikutan itu beliau berkata, kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendn Saufi Malik di talian 011-2062 5464 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan mayat itu ditemui oleh seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang sedang menjala ikan di sungai berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!