Jepun intai kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah

Iklan
Skuad hoki Jepun bagi saingan Piala Sultan Azlan Shah 2024.

SKUAD hoki lelaki Jepun sedia menggalas cabaran untuk bergelar juara buat kali pertama pada kemunculan keenam di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak bermula Sabtu ini.

Pengurus pasukan Jepun Takayasu Mizawa mengakui meskipun ia bukan sesuatu yang mudah namun tidak mustahil untuk anak buahnya merealisasikan misi tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata pasukannya telah lama membuat persediaan sejak Sukan Olimpik Paris Tokyo 2020 yang menyaksikan Jepun menamatkan saingan di kedudukan ke-11 di temasya sukan terbesar dunia tersebut.

"Ini adalah pasukan baharu yang dibentuk dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman. Lebih kurang 12 pemain yang beraksi di kelayakan Olimpik Valencia berada dalam pasukan dan lima lagi (pemain berusia 18-20 tahun) akan membuat penampilan kali pertama bersama skuad senior.

Iklan

"Sasaran kami menjadi nombor satu di kejohanan ini tetapi saya sedar tidak mudah untuk mencapainya," katanya menerusi kenyataan penganjur pada Rabu.

Selain Jepun di ranking ke-16 dunia, kejohanan seminggu itu turut disertai tuan rumah Malaysia (13), Pakistan (15), Kanada (19), New Zealand (10) dan Korea Selatan (11).

Iklan

Pencapaian terbaik Jepun adalah tempat keempat pada edisi lepas pada 2022 selepas tewas 3-5 kepada Pakistan pada penentuan tempat ketiga manakala Malaysia menamatkan kemarau kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah selama 39 tahun setelah menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi final.

Pasukan Matahari Terbit itu akan membuka kempen Piala Sultan Azlan Shah dengan menentang Korea Selatan, Sabtu ini diikuti New Zealand pada hari berikutnya, Pakistan (7 Mei), Malaysia (8 Mei) dan Kanada (10 Mei).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!