PH anggap Sock Tao calon 'underdog'

Iklan
Sock Tao ketika jelajah mesra di salah buah restoran di Pekan Kuala Kubu Baharu di sini pada Rabu.

HULU SELANGOR - Pakatan Harapan (PH) tetap menganggap calon yang diketengahkan, Pang Sock Tao sebagai 'underdog', meskipun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu disandang DAP sejak tiga penggal lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sentiasa mengingatkan calon dan jentera supaya sentiasa bekerja keras untuk memastikan kerusi itu berjaya dikekalkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Iklan
Iklan

"Dalam apa jua pilihan raya, peluang adalah sama rata kepada semua pihak. Biasanya kita (PH) hendak masuk PRK sebagai 'underdog' kerana orang sombong dan angkuh ini akan kalah.

"Jadi, kita perlu sentiasa bersikap rendah diri, jangan angkuh dan ramal boleh menang kerana untuk memperoleh kemenangan itu ia perlu disertakan dengan usaha.

Iklan

"Kita tidak boleh sesekali rasa selesa walaupun kita penyandang kerusi ini kerana pada akhirnya yang akan membuat keputusan (siapa menang) adalah pengundi),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program jelajah mesra di salah sebuah restoran di sini pada Rabu.

Sementara itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, PH akan memulakan siri ceramah besarnya sempena kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada Jumaat ini.

Iklan

Katanya, pada permulaan kempen sebelum ini, pihaknya akan menumpukan kepada ceramah kelompok supaya dapat memberi fokus kepada kawasan setempat.

"Ceramah besar akan digerakkan pada Jumaat ini kerana dari segi PRK, permulaan kempen ceramah memang tidak begitu panas lagi. Jadi sebab itulah kita mulakan dengan ceramah kelompok dahulu.

"Untuk siri ceramah besar pada Jumaat ini ia akan disertai saya sendiri bersama pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan yang lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!