Pilih aliran pendidikan hak ibu bapa - Nik Nazmi

Iklan
Nik Nazmi

HULU SELANGOR - Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperkasakan sekolah kebangsaan (SK), namun pilihan aliran pendidikan untuk anak-anak merupakan hak ibu bapa.

Malah, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) termasuk di Kelantan.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya tidak sepatutnya berlaku.

"Adakah Ahmad Fadhli percaya pelajar lepasan SJK tidak boleh menjadi wakil rakyat? Belajar di SJK bukanlah seperti menyertai pertubuhan haram kerana SJK diiktiraf oleh Perlembagaan dan mengambil peperiksaan kebangsaan,” katanya dalam kenyataan malam Selasa.

Iklan
Sock Tao, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing dalam semua mata pelajaran.

Keputusan akademik itu dikongsikan Sock Tao melalui Facebook semalam bagi menjawab cabaran dibangkitkan Ahmad Fadhli.

Pada PRK berkenaan, Sock Tao ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Iklan

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!