Penganggur rompak warga emas dipenjara 21 bulan, empat sebatan

Iklan
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 21 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas menggunakan sebatang kayu dan skop, tahun lepas.

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 21 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas menggunakan sebatang kayu dan skop, tahun lepas.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azizi Abd Rahman, 40, selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 27 Julai tahun lepas.

Iklan
Iklan

Mohd Azizi bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas dengan niat melakukan perbuatan itu ke atas Ong Lay Fu, 77, dengan mengambil wang tunai RM6,000 dan dua buah telefon bimbit di sebuah rumah di Taman P. Ramlee, Wangsa Maju di sini pada 2.30 petang, 27 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kejadian itu melibatkan mangsa warga emas.

Berdasarkan fakta kes, pada 2.30 petang, 27 Julai 2023, semasa mangsa berada di ruang tamu rumah dan sedang menjaga cucu perempuannya, tertuduh bersama dua rakannya telah masuk ke dalam rumah mangsa sambil memegang skop dan kayu serta meminta warga emas itu menyerahkan wang dan barang berharga, selain mengancam memukul suami wanita itu menggunakan skop sekiranya enggan memberi kerjasama.

Iklan

Mangsa telah menyerahkan wang dan dua telefon bimbit berkenaan kerana takut diancam tertuduh dan rakan-rakannya sebelum tertuduh dan rakan-rakannya beredar meninggalkan rumah mangsa bersama barang-barang berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!