Segera selesaikan isu jalan berlubang atau berdepan tuntutan pengguna

Iklan
Laporan Sinar Harian

Kemalangan jalan raya disebabkan jalan berlubang sukar dielakkan malah ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apabila terlibat dengan kemalangan yang berpunca keadaan jalan raya, hal ini akan menyebabkan pemandu kenderaan terpaksa menanggung kos tinggi bagi membaiki kerosakan dialami.

Lebih parah sekiranya pemandu dan penumpang itu turut mengalami kecederaan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital mahupun klinik. Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai hak-hak pengguna yang boleh dibuat tuntutan.

Iklan
Iklan

Ramai pengguna jalan raya di negara ini masih tidak menyedari bahawa mereka boleh membuat tuntutan sekiranya terlanggar halangan mahupun jalan rosak sehingga mendatangkan kecederaan atau kerosakan pada kenderaan mereka.

Ini kerana, kebanyakan mereka tidak mengetahui mengenai hak yang dimiliki untuk menuntut ganti rugi am atau khas daripada pihak bertanggungjawab terhadap jalan yang dilalui.

Iklan

Ia dapat dilakukan sekiranya pengguna dapat membuktikan kemalangan tersebut adalah berpunca daripada masalah kerosakan jalan raya dan bukannya akibat kecuaian pemanduan mangsa atau pengguna jalan raya yang lain.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang di Pasir Gudang, Johor Bahru tiga tahun lalu berjaya memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan.

Keputusan itu dibuat setelah Mahkamah Sesyen pada 28 Februari lalu memerintahkan syarikat yang dilantik kerajaan negeri itu membayar kos berkenaan kepada Razali @ Mohd Leey Subeh, 49.

Iklan

Oleh itu, pemberian pampasan kepada pemandu terlanggar lubang pada jalan raya baru-baru ini sepatutnya menyedarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang ramai.

Keputusan mahkamah itu wajar dijadikan peringatan kepada pihak yang terlibat bahawa mereka bertanggungjawab ke atas keselamatan komuniti dan membuka mata orang ramai tentang hak mereka. Kes tersebut boleh dijadikan rujukan kepada orang ramai dalam menuntut hak-hak mereka sekiranya terlibat.

Malah, pihak bertanggungjawab seperti PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR) wajar membaik pulih keadaan jalan raya untuk mengelakkan kejadian sama berulang atau bersedia dengan tuntutan lain oleh pengguna.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!