Gagal 'bebaskan' isteri di depot tahanan, duit pula kena kebas

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

TEMERLOH - Seorang lelaki Myanmar terpaksa berputih mata selepas ditipu RM3,000 oleh kenalannya yang menawarkan khidmat orang tengah bagi membebaskan isterinya yang merupakan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depot Imigresen Kemayan di Bera, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa berusia 26 tahun yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu baru tiga hari mengenali suspek berusia 35 tahun di terminal bas, di sini, telah mempercayai perkhidmatan ditawarkan untuk tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa ada kenalan boleh membebaskan isteri pengadu dengan bayaran RM3,000.

"Kita menerima laporan kira-kira jam 9 pagi hari ini (Isnin) daripada pengadu melibatkan tawaran perkhidmatan sebagai orang tengah untuk membebaskan isteri pengadu daripada tahanan PATI di Depot Imigresen Kemayan di Bera.

Iklan

"Pengadu kemudiannya menyerahkan wang tersebut di terminal bas Temerloh di sini pada hari ini (Isnin) dan menyedari diperdaya ekoran isterinya tidak dibebaskan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, pihak polis berjaya mengesan lokasi suspek dalam tempoh 30 minit, yang ketika itu sedang menaiki bas menghala ke Kelantan.

Iklan

"Hasil kerjasama syarikat bas ekspres dan bantuan IPD Kemaman, kita telah berjaya menahan suspek berkenaan tiga jam kemudian di terminal bas Chukai, Terengganu," jelas beliau.

Ujar Mazlan, pihak polis berjaya merampas wang tunai RM2,700 manakala RM300 telah digunakan oleh suspek terbabit.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah, iaitu bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan) dan Sekyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu)," katanya lagi.

Tambahnya, suspek akan direman pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!