Penubuhan Ombudsman Malaysia, pindaan Akta 711 dipersetujui

Iklan
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang bersetuju secara prinsip mengenai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

SHAH ALAM - Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang telah bersetuju secara prinsip mengenai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, sesi libat urus yang bersifat menyeluruh akan diadakan dalam tempoh tiga bulan dengan semua pihak berkepentingan peringkat negeri dan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia termasuklah agensi-agensi yang terlibat, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO), Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang berkenaan serta ahli akademik dalam bidang berkaitan.

"Hasil sesi libat urus akan dikaji dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa ini sebelum butiran terperinci mengenai kedua-dua cadangan diteliti semula termasuklah dari segi ruang lingkup, struktur dan fungsi Ombudsman Malaysia.

Iklan

"Kedua-dua reformasi undang-undang ini dihasratkan untuk dibentangkan dalam sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada Oktober nanti,” katanya pada Isnin.

Pada 3 April, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan bagi memastikan usaha reformasi institusi dan undang-undang dapat dilaksanakan dengan segera selepas mengambil kira pelbagai cabaran, sudut pandangan dan opsyen penyelesaian terbaik.

Iklan

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama dengan barisan pegawai kanan kerajaan serta pemegang taruh berkaitan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, jawatankuasa itu menjadi platform untuk menilai dan mempertimbangkan pelbagai cadangan reformasi institusi dan undang-undang selepas meneliti isu-isu rentas kementerian dan agensi secara terperinci sebelum cadangan tersebut diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri.

"Jawatankuasa ini juga mencerminkan kerajaan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk ahli politik, aktivis masyarakat, rakyat di lapangan serta pihak yang berkepentingan.

"Ia bagi memastikan usaha reformasi institusi dan undang-undang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!