Penolong Pegawai Perubatan didenda terima suapan berkait kerja urus jenazah

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku salah dan didenda 3,000 atas tiga tuduhan menerima suapan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

KUANTAN - Seorang Penolong Pegawai Perubatan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku salah atas tiga tuduhan menerima suapan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 58, turut berdepan hukuman denda 18 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Iklan
Iklan

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Sabri Ismail selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan itu pada prosiding yang ditetapkan untuk pengurusan kes.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.

Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai antara RM300 hingga RM800 tanpa balasan daripada dua individu dipercayai ejen pengurusan jenazah yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya di hospital terbabit.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, tertuduh turut berdepan sembilan lagi pertuduhan di bawah seksyen sama membabitkan nilai suapan RM1,750.

Bagaimanapun semua pertuduhan yang diakui tertuduh itu telah dipertimbangkan dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!