Tak boleh puasa sunat enam pada hari Sabtu, Ahad?

Iklan
KETAHUI status berpuasa sunat enam pada hari Sabtu atau Ahad semata-mata dalam Islam.

BERBAKI lagi 10 hari Syawal bakal melabuhkan tirainya, ramai melakukan pecutan terakhir untuk menyudahkan puasa sunat enam hari pada Aidilfitri ini.

Ada yang sanggup ‘pulun’ berpuasa termasuklah pada hari Sabtu atau Ahad demi mengejar waktu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pendakwah yang juga penulis buku kerohanian, Muhammad Zulhusni Mohd Zaki atau lebih dikenali sebagai Muzuza mengingatkan, makruh berpuasa sunat pada hari Sabtu sahaja.

Beliau kemudian mengemukakan hadis Rasulullah SAW yang mana Baginda bersabda: "Janganlah kamu berpuasa (semata-mata) pada hari Sabtu melainkan apa yang telah ALLAH fardukan ke atas kamu. Jika seseorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah ia memamahnya (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Iklan

"Begitu juga dengan berpuasa semata-mata pada hari Ahad. Ia diqiaskan dengan hadis yang sama.

Andai kata ia melibatkan puasa ganti atau nazar, Muzuza menjelaskan, kitab al-Majmu’ menyebut, tidak lagi dimakruhkan melakukan ibadah berkenaan pada hari Sabtu dan Ahad.

Iklan

MAKRUH hukumnya andai kita berpuasa sunat pada hari Sabtu atau Ahad sahaja. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

"Jika ingin tunaikan puasa sunat enam (pada hari berkenaan), ia dibolehkan, tetapi lebih baik andai kita ingin berpuasa enam pada hari Jumaat.

"Kemudian diteruskan sehari lagi iaitu hari Sabtu untuk lebih meraikan pandangan bahawa makruh berpuasa pada hari Jumaat semata-mata melainkan berpuasa pada hari Khamis dan Sabtu,” katanya.

Mengulas lanjut, Muzuza berkata, ia selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat semata-mata melinkan berpuasa pada hari sebelumnya atau hari selepasnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

"Ulama menyatakan bahawa hukum berpuasa pada hari Jumaat semata-mata adalah makruh.

"Mudah kata, jika kita berpuasa pada hari Khamis atau pada hari Sabtu, maka dibolehkan berpuasa pada hari Jumaat,” jelasnya.

"Begitu juga tidak makruh bagi mereka yang mengerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa selang seli antara berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa qada atau puasa nazar.

"Demikian pandangan yang dinukilkan dalam kitab Nihayatul Muhtaj,” katanya dipetik daripada artikel Al-Kafi #536: Hukum Berpuasa Sunat Pada Hari Sabtu dan Ahad yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.