Berganding bahu atasi penguasaan asas 3M

Iklan
Tidak semua murid berupaya menguasai asas literasi 3M (membaca, menulis dan mengira) pada hari pertama mereka menjejakkan kaki di sekolah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: MAZLAN dan ABDUL RASID)

Persekolahan secara formal merupakan kesinambungan dalam meneruskan pembelajaran dari peringkat prasekolah ke peringkat yang lebih tinggi.

Walau apa pun latar belakang dan kedudukan ibu bapa, harapan anak mereka untuk menguasai asas literasi sebagai langkah permulaan dalam menimba ilmu perlu diutamakan.

Iklan
Iklan

Namun, tidak semua anak ini berupaya menguasai asas literasi 3M (membaca, menulis dan mengira) pada hari pertama menjejakkan kaki di sekolah.

Sesungguhnya penguasaan asas literasi 3M ialah asas pembelajaran dan penguasaan kebolehlaksanaan meneroka pelbagai disiplin ilmu.

Ibu bapa mengharapkan anak mereka untuk menguasai asas literasi sebagai langkah permulaan dalam menimba ilmu. - Gambar hiasan

Iklan

Bagaimanapun isu penguasaan asas literasi 3M masih menjadi halangan buat anak-anak kita dalam mengejar ilmu yang berkembang dengan cepat.

Malah ada yang menjadikan ketidakupayaan menguasai asas 3M antara petunjuk keciciran murid dalam pembelajaran. Kelewatan menguasai asas literasi menyukarkan anak-anak ‘bergerak laju’ dalam meneroka dan menguasai ilmu di peringkat seterusnya.

Iklan

Tahukah anda, penguasaan asas literasi 3M sangat penting dikuasai seawal usia bagi memastikan tiada keciciran dalam pembelajaran berlaku.

Keciciran pembelajaran merujuk kepada ketidakupayaan menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta komunikasi harian.

Oleh itu, menguasai asas literasi 3M amat diperlukan bagi memenuhi beberapa perkara seperti persediaan mengikuti pembelajaran di sekolah menengah yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya kecuali bahasa Inggeris, meningkatkan kualiti dan penguasaan pelbagai kosa kata, membantu penguasaan terhadap disiplin ilmu yang lain, melahirkan generasi warganegara yang boleh membaca dan memupuk budaya membaca serta membolehkan pelbagai ilmu dapat diterokai.

DI BAHU SEMUA PIHAK

Guru perlu mengenal pasti murid yang belum menguasai asas 3M lebih awal bagi merancang program intervensi. - Gambar hiasan

Isu anak-anak tidak menguasai asas 3M sepatutnya menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia keseluruhan kerana implikasi kepada kesediaan modal insan yang akan membangunkan negara kelak.

Janganlah berfikir bahawa kelompok tidak menguasai asas 3M itu bukan anak, saudara ataupun keluarga kita, sebaliknya mereka ini bakal membangunkan negara.

Banyak cara dan kaedah yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk membantu anak-anak belum menguasai asas 3M. Antara langkah yang boleh dilakukan melalui peranan ibu bapa.

Mereka perlu cakna terhadap pembelajaran anak-anak termasuk memastikan penguasaan asas 3M seawal persekolahan. Perasaan risau dalam kalangan ibu bapa perlu ada, jika anak-anak mereka menduduki Tahun Dua tetapi belum menguasai asas 3M.

Sementara itu, pihak sekolah sepatutnya membantu murid yang belum menguasai asas 3M seawal usia.

Guru-guru perlu mengenal pasti murid yang belum menguasai asas 3M lebih awal bagi merancang program intervensi.

Kumpulan pendidik juga wajib menunjukkan minat membaca kepada anak didik dengan mewujudkan semula ruang bercerita di sekolah. Seterusnya mengajak murid membaca bersama-sama dan berkongsi cerita tersebut.

Pihak sekolah juga boleh menyediakan buku-buku yang menarik yang diletakkan di sudut bacaan di dalam kelas bagi menggalakkan murid membaca.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga boleh bekerjasama dengan pihak sekolah menerusi penyaluran dana kepada guru-guru yang membantu murid menguasai asas 3M selepas waktu sekolah.

Komuniti setempat terdiri daripada pelbagai kaum juga boleh membantu dengan bekerjasama dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang belum menguasai asas 3M.

Setiap pemimpin komuniti setempat boleh mewujudkan program khusus dalam menangani isu ini. Misalnya pihak meminta bantuan anggota komuniti yang sudi membantu dan remaja bertindak sebagai abang atau kakak untuk membantu adik-adik yang belum menguasai asas 3M.

Selain itu, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan, korporat boleh membantu anak-anak yang belum menguasai asas 3M dalam pelbagai bentuk. Misalnya dana dan juga tenaga pakar.

TANGGUNGJAWAB BERAT KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak di sekolah melalui guru.

KPM tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik dan adil serta peluang sama rata kepada semua murid menuntut ilmu.

Begitu juga dalam usaha menguasai asas 3M. Namun, usaha KPM semata-mata tanpa sokongan pelbagai pihak adalah sukar untuk melihat kejayaan segera, malah masalah itu berterusan sehingga murid mengikuti pembelajaran pada peringkat menengah.

Pelbagai program intervensi telah dilaksanakan bagi menangani murid yang belum menguasai asas 3M seperti Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahap I. Ia diikuti dengan pelaksanaan inisiatif Literasi dan Numerasi (LiNUS) dan LiNUS 2.0.

Pelbagai program sokongan dilakukan bagi membantu kejayaan pelaksanaan LiNUS2.0. Ia termasuk pelantikan FasiLiNUS, KPI khusus, menyediakan modul LiNUS, kursus berfokus dan lain-lain aktiviti.

Selain itu, Program Tiga M (Protim) dilaksanakan terhadap murid Tahap II yang masih tidak menguasai asas 3M.

Bagi memastikan kualiti pembacaan, Program Literasi dan Numerasi (PLaN) berasaskan tahap penguasaan dijadikan inisiatif baharu bagi membantu murid.

KPM turut menggubal Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Melayu berfokuskan kemahiran literasi iaitu konsep kembali kepada asas dan aplikasi bahasa.

Kemahiran asas literasi murid Tahap I (Tahun Satu, Dua dan Tiga) menekankan penguasaan asas kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam pengajaran dan pembelajaran secara terancang.

Berbeza pula dengan murid Tahap II (Tahun Empat, Lima dan Enam), pembelajaran subjek Bahasa Melayu menekankan pengukuhan literasi dan aplikasi kemahiran bahasa supaya mereka lebih berketerampilan berbahasa dalam bentuk lisan dan bertulis (KPM, 2015).

Pihak KPM juga turut memperkenalkan Pelan Strategik Interim 2011-2020 yang memfokuskan murid peribumi di kawasan terpencil. Tindakan susulan dicadangkan dalam pelan itu termasuk ‘meluaskan pendidikan alternatif kepada kanak-kanak terpinggir yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan formal terutama bagi mereka di pedalaman, pulau dan terpencil, Orang Asli, Penan dan peribumi serta kanak-kanak berkeperluan khas’.

Penguasaan asas literasi ini membantu proses pembelajaran dalam pembangunan dilaksanakan dengan teratur seterusnya menyumbang kepada pembinaan dan peradaban menyeluruh.

Perkembangan dunia pendidikan yang pesat dan mencabar turut mengubah persepsi dunia tentang literasi.

Literasi membaca yang dahulunya sekadar meliputi kemahiran mengenal huruf dan abjad serta membunyikan suku kata, tidak lagi menjadi fokus dunia.

Sebaliknya, kini ia lebih memfokuskan kepada pemahaman terhadap bahan yang dibaca, proses menaakul dan menganalisis maklumat serta penumpuan kepada aspek pembelajaran literasi digital.

Objektif pembelajaran membaca juga telah berubah daripada sekadar kelancaran bacaan dan pemahaman asas teks kepada kemampuan mengaplikasikan apa yang difahami dalam kehidupan harian.

Kita sedar bahawa anak-anak mempunyai pelbagai bentuk kebolehan dan keupayaan mereka. Guru sering diminta membina alat ukur bagi mengukur keupayaan dan kebolehan murid.

Oleh itu, ibu bapa dan komuniti pelbagai kaum perlu berganding bahu dengan pihak sekolah dan guru bagi memastikan anak-anak hari ini menguasai asas literasi dan numerasi seawal usia lagi.

* Dr Mazlan ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu, Sektor Bahasa dan Kesusasteraan di Kementerian Pendidikan Malaysia

* Dr Abdul Rasid Jamian ialah Profesor Pendidikan Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!