Piala Uber: Malaysia kena bangkit

Iklan
Aksi pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei ketika menentang pemain Taiwan Tai Tzu Ying dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Badminton Piala Uber 2024 di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu pada Ahad.

SKUAD badminton wanita negara perlu bangkit pada perlawanan kedua Kumpulan B menentang Thailand pada Isnin sekiranya mahu menghidupkan peluang mara ke pusingan suku akhir Piala Uber 2024 di Chengdu, China.

Skuad negara tewas perlawanan pembukaan kepada Taiwan 1-4 biarpun memberikan tentang sengit dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone pada Ahad.

Iklan
Iklan

Justeru, mereka memerlukan kemenangan dalam pertemuan sukar menentang Thailand yang juga naib juara 2018 untuk mengelakkan perjalanan terhenti hanya dalam peringkat kumpulan.

Ia turut diakui Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mahu pemain-pemain negara melupakan kekalahan kepada Taiwan sebaliknya bangkit memberikan tentangan kepada Thailand.

Iklan

"Saya mahu pemain-pemain bangkit berikan yang terbaik dan nikmati setiap permainan apabila berdepan Thailand dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Dalam pada itu, pemain profesional perseorangan wanita negara Goh Jin Wei bertekad mahu memperagakan aksi lebih berkualiti berbanding ketika tewas kepada pemain nombor lima dunia dari Taiwan, Tai Tzu Yin dalam perlawanan pertama.

Iklan

"Saya beraksi lebih baik berbanding aksi terdahulu berdepan dengan dia (Tzu Yin). Jadi, ia petanda yang bagus untuk saya.

"Namun, saya minta maaf gagal menyumbang mata dalam perlawanan pertama. Saya akan memberikan yang terbaik jika diberikan peluang untuk beraksi perlawanan seterusnya (menentang Thailand),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!