Sultan Selangor titah kerajaan negeri taja 36 jemaah haji

Iklan
Sultan Selangor (tengah) diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) menyerahkan replika cek insentif haji muassasah #Kita Selangor 2024 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad (kanan) pada Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan Selangor menaja seramai 36 peserta haji tidak berkemampuan di negeri ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, baginda bertitah, tajaan itu meliputi jemaah haji dari sembilan daerah di negeri ini.

Iklan
Iklan

"(Jemaah haji) yang dipilih dalam kalangan rakyat yang tidak mampu, tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut," titah baginda menerusi Facebook rasmi pada Ahad.

Baginda turut telah disembah maklum bahawa bilangan pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) bagi negeri Selangor kira-kira 1.81 juta orang dengan jumlah simpanan RM18.797 bilion.

Iklan

Seramai 8, 061 jumlah jemaah haji dari Selangor pada tahun ini.

Sultan Sharafuddin berkenan bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Kenyataan itu memaklumkan, Sultan Selangor turut menasihatkan bakal jemaah haji mempersiapkan diri sebaik-baiknya, bagi melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Iklan

"Baginda bertitah, ibadah haji merupakan satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.

"Baginda turut mengingatkan jemaah agar terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci, serta menjaga nama baik Selangor dan Malaysia," tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, baginda dimaklumkan bahawa setakat ini, jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor antara jemaah berdisiplin serta patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Justeru baginda mahu semua jemaah menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi," ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah Peringkat Negeri Selangor anjuran TH di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.