Nahas helikopter TLDM: Khidmat kaunseling diteruskan bergantung keperluan

Iklan
Noraini (dua, kanan) menyantuni balu Leftenan Sivasutan, Harshini Sanra Sekaran, 29, (dua, kiri) di kediaman balu itu di Taman Serdang Jaya pada Ahad. Foto Bernama

MANJUNG - Khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut akan diteruskan bergantung kepada keperluan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hasil pemerhatian mendapati waris mangsa masih bersedih, namun kuat semangat untuk menerima kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka.

Iklan
Iklan

"Tempoh kaunseling bergantung kepada keadaan individu...masing-masing bersedih atas apa yang berlaku kepada orang yang disayangi, paling rapat dengan mereka, ada sesetengahnya merupakan tempat bergantung harap bagi keluarga tersebut.

"Apabila kita kehilangan orang tersayang, pasti emosi tetapi saya melihat mereka sangat kuat dan kami bersedia untuk mendengar melalui kaunselor kami di setiap daerah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi waris mendiang Leftenan T Sivasutan di Taman Serdang Jaya, Sitiawan di sini pada Ahad.

Noraini (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada balu Leftenan Sivasutan. Foto Bernama

Iklan

Terdahulu, Noraini turut menziarahi keluarga Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi dan Pegawai Waran II Nurfarahimi Mohd Suady.

Noraini berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara dan barangan keperluan selain sumbangan peribadi beliau kepada waris ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Iklan

Dalam kejadian 9.32 pagi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!