PRM, Bebas 'berani mati' lawan dua parti gergasi

Iklan
Calon PRK Kuala Kubu Baharu. Dari kiri: Sock Tao, Khairul Azhari, Eris Nyau Ke Xin dan Hafizah.

PENGLIBATAN Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas dalam dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini boleh dianggap sebagai tindakan 'berani mati' apabila akan berhadapan dengan dua parti gergasi.

Persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan perkara biasa yang kita sentiasa lihat dalam pilihan raya sebelum ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, penglibatan parti politik lain dan juga calon Bebas membawa kelainan yang agak menarik untuk kita nantikan jumlah undian kelak.

Semua ini bergantung kepada keputusan rakyat dalam memilih siapa yang layak untuk memimpin dan menjaga Kuala Kubu baharu berdasarkan manifesto oleh setiap calon.

Iklan

Bagaimanapun, manifesto sahaja tidak menjamin apa-apa kerana ada juga pengundi yang lebih gemar memberi undi mengikut pengalaman dan situasi semasa.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali berkata, PRK kali ini merupakan penanda aras terhadap pencapaian kerajaan negeri Selangor sekali gus menggambarkan sokongan rakyat terhadap usaha dan dasar yang diinginkan rakyat.

Iklan

Jelasnya, kedudukan KKB di bawah Parlimen Hulu Selangor menjadi medan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan dasar dan program kerajaan negeri yang dilaksanakan mampu memberi kesan positif terhadap sokongan pengundi di kawasan tersebut.

Justeru menurutnya, pihak bertanding tidak boleh memandang mudah PRK DUN KKB memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan dan jentera yang pasti mendatangkan cabaran sengit.

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh turut mengingatkan agar parti yang bertanding pada PRK KKB berpegang kepada prinsip pilihan raya yang bersih dan adil dengan tidak membeli undi pengundi khasnya menerusi rasuah wang ringgit.

Menurut beliau, kini sudah sampai masanya pilihan raya di negara ini dijalankan secara tertib iaitu bebas daripada perlakuan yang boleh menjerumuskan kepada rasuah.

Jelasnya, perbuatan membeli undi khususnya menerusi pemberian rasuah wang ringgit akan mendatangkan malapetaka jika ia dibiarkan berterusan.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi menuju PRK KKB, penulis mengharapkan setiap kempen atau aktiviti mengambil hati rakyat yang dilakukan oleh calon dijalankan dengan penuh telus dan berinterigiti.

Bagi pengundi pula dinasihatkan supaya keputusan ketika memangkah nanti dilakukan dengan bijaksana, bukan hanya sekadar melepasi syarat datang mengundi.

Akhir sekali, diharapkan proses pengundian berjalan dengan lancar dan dijauhkan daripada kejadian atau insiden yang tidak diingini.

PRK DUN KKB menyaksikan persaingan empat penjuru antara PN PH, PRM dan Bebas.

Khairul Azhari Saut mewakili PN, PH diwakili Pang Sock Tao manakala Eris Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas dan Hafizah Zainudin (PRM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!