Najib percaya Blackstone dikawal Arab Saudi, Raja Abdullah - Saksi

Iklan
Pegawai penyiasat SPRM memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Sabtu selama ini Datuk Seri Najib Tun Razak mempercayai bahawa syarikat shell, Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Sabtu selama ini Datuk Seri Najib Tun Razak mempercayai bahawa syarikat shell, Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.

Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin, 37, berkata demikian semasa prosiding kes empat pertuduhan membabitkan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Iklan
Iklan

Ketika disoal balas oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib, 71, Nur Aida berkata, bekas Presiden UMNO itu memaklumkan perkara tersebut ketika merekodkan keterangan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan percaya bahawa Blackstone Asia Real Estate Partners yang menerima dana milik 1MDB, akhirnya dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Iklan

Ketika sesi soal balas peguam, Nur Aida berkata, ia adalah membabitkan transaksi yang berlaku antara Blackstone dan akaun peribadi Najib yang berakhir nombor 9694.

Wan Azwan Aiman: Semasa pegawai SPRM mengambil kenyataan, Najib percaya bahawa Blackstone dimiliki atau dikawal oleh Allahyarham Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi?

Iklan

Nur Aida: Ya, betul.

Untuk rekod, Blackstone dikatakan syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau dipanggil Eric Tan.

Wan Azwan Aiman: Andakah puan bersetuju bahawa, semasa rakaman percakapan direkodkan oleh SPRM, Najib tidak pernah ditnjukkan dengan apa-apa dokumen menunjukkan bahawa Eric Tan adalah penerima manfaat bagi Blackstone?

Nur Aida: Setuju.

Wan Azwan Aiman: Saya katakan, Najib tidak pernah arahkan Eric Tan untuk memindahkan RM90,899,927.30 ke akaun bank peribadinya pada 2012.

Nur Aida: Setuju.

Selepas ditanya, saksi itu juga bersetuju bahawa SPRM tidak mengambil sebarang kenyataan daripada Eric Tan berkaitan transaksi tersebut.

Sebelum ini, Jho Low dikatakan menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, iaitu nama yang sama dengan firma ekuiti swasta hartanah, Blackstone Real Estate.

Ahli perniagaan dalam buruan terbabit dipercayai sengaja menggunakan nama untuk syarikat shell luar pesisir, menyerupai syarikat yang telah kukuh, demi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Nur Aida juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan, bahawa Najib tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen berhubung pemilikan Blackstone Asia Real Estate Partners sewaktu disoal siasat.

Pada perbicaraan sebelum ini, penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, memberitahu bahawa akaun peribadi Najib telah menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone, antara 30 Oktober dan 19 November 2012.

Jumlah tersebut dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Charterd Bank, Singapura atas nama Blackstone dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada tahun 2012.

Sementara itu, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan ketika memberi keterangan menyatakan, Jho Low pernah memintanya agar tidak bimbang dengan kemasukan wang yang besar ke akaun Najib.

Bukan itu sahaja, Jasmine juga mendakwa Jho Low mempunyai bukti, untuk menunjukkan perkara yang dilakukan, adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Najib.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!