Kerajaan tidak bercadang gantung sementara perkhidmatan Fennec, HOM

Iklan
Mohamed Khaled. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk menggantung sementara perkhidmatan helikopter jenis Fennec dan HOM.

"Setakat ini tidak ke arah itu (gantung sementara),” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan program Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Dusun Tembakau di Manir dekat sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat keperluan untuk menggantung perkhidmatan kedua-dua jenis helikopter tersebut susulan nahas pada pagi Selasa yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6).

Kejadian yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Iklan

Kesemua yang terkorban telah disemadikan dengan jasad terakhir, Leftenan T Sivasutan, 31, selamat menjalani upacara pembakaran di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Sitiawan pada jam 12.15 tengah hari, Khamis lepas.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengesahkan bangkai dua pesawat berkenaan termasuk kotak hitam telah pun dialihkan dari lokasi kejadian pada Khamis.

"Saya dimaklumkan semuanya telah dialihkan untuk ke tempat siasatan dibuat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan Lembaga Siasatan ditubuhkan TLDM itu, akan turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan pakar-pakar lain termasuk pembuat helikopter.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan proses itu akan melibatkan pakar dari luar negara sekiranya terdapat keperluan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!