TMK 2024: MOT benarkan bas pelancong Thailand masuk Kelantan

Iklan
Kamarudin menunjukkan borang (Permohonan Lintas Sempadan) yang membenarkan bas pelancongan dari Thailand untuk masuk ke Kelantan.

PATTANI, THAILAND - Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 dijangka lebih rancak selepas ini apabila Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memberikan kebenaran kepada bas pelancong dari Thailand untuk masuk ke Kelantan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kelulusan serta-merta itu diberi hasil daripada permohonan dan pertemuan beliau bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Iklan
Iklan

"Secara dasarnya MOT bersetuju dan beliau (Anthony) telah mengirimkan borang (Permohonan Lintas Sempadan), ertinya sudah bersetuju.

"Kelulusan ini akan merancakkan lagi industri pelancongan sempena TMK 2024 dan bakal memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Iklan

Sebelum itu beliau hadir ke Festival Asia 2024 yang diadakan di Asean Mall Pattani, di sini.

Menurut beliau, pada masa yang sama ia turut menjana pendapatan kepada syarikat pelancongan kerana bas dari Thailand yang masuk perlu mendapatkan khidmat daripada pengendali perkhidmatan di Kelantan.

Kamarudin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada deligasi yang hadir ke Festival Asia 2024 yang diadakan di Asean Mall Pattani, Thailand.

Iklan

Ujarnya, borang yang sudah diisi itu perlu diserahkan kepada mana-mana pengendali perkhidmatan pelancongan di Kelantan untuk diuruskan.

Kamarudin memberitahu, beliau akan memanggil syarikat pengendali perkhidmatan untuk memberikan taklimat berkait dengan perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Kebenaran ini hanya terpakai untuk bas dan tidak melibatkan perkhidmatan van pelancongan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan sudah memohon kelonggaran permit bas pelancongan dari Thailand dengan MOT untuk kemasukan kenderaan itu ke negeri ini sempena TMK 2024.

Kamaruddin berkata, satu pertemuan bersama Anthony ditetapkan pada 4 April lalu bagi membincangkan perkara itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!