Tindakan Terengganu tolak Akta Laut Wilayah 2012 sinikal - Fahmi

Iklan
Fahmi menyampaikan ucapan pada program Lawatan Kerja Projek Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar Utara pada Jumaat. Foto Bernama

PADANG BESAR - Keputusan kerajaan Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012, menerusi usul diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, dilihat sebagai satu tindakan sinikal dan hipokrit.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ini kerana tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pas dari negeri itu, yang membantah rang undang-undang tersebut ketika ia dibentang, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat, sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya ambil maklum pandangan Datuk Seri Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) melalui satu hantaran di Facebook, semalam dan saya ambil peluang untuk menelaah dan meneliti semula hansard ataupun penyata rasmi Dewan Rakyat sekitar 18, 19 April 2012 sewaktu Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 dibentang, dibahas dan diluluskan.

"Dalam sesi yang mengambil masa lebih kurang dua, tiga jam terdapat 21 Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan bagi Akta Laut Wilayah ataupun Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 pada waktu itu.

Iklan

Fahmi berkata, walaupun ada beberapa Ahli Parlimen Pas dari Kelantan yang bangkit membahaskan rang undang-undang tersebut, namun tiada Ahli Parlimen Pas dari Terengganu yang mengambil bahagian.

Justeru, beliau berkata, Ahmad Samsuri perlu bertanya kepada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengapa presiden Pas itu tidak menggunakan peluang pada waktu itu untuk melakukan bantahan ketika rang undang-undang tersebut dibentang dan dibahaskan.

Iklan

"Jangan jadi hipokrit, Menteri Besar Terengganu perlu tanya dengan Ahli Parlimen Marang kenapa waktu rang undang-undang ini dibahaskan, Ahli Parlimen Marang diam seribu bahasa dan kalau sekiranya isu dia adalah mengenai kuasa, kenapa tidak ada satu perkara pun dilakukan dalam tempoh 33 bulan parti Pas terlibat dalam kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Fahmi berkata, Menteri Besar Terengganu itu seharusnya duduk berbincang dengan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mencari jalan penyelesaian dalam perkara tersebut.

Semalam, Ahmad Samsuri dilapor berkata sidang DUN Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012, kerana ia membataskan hak negeri itu menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) daripada garis air surut wilayah Terengganu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!