Suasana pilu iringi pengebumian Wan Rezaudeen Kamal

Iklan
Suasana pilu menyelubungi sekitar pengebumian Wan Rezaudeen Kamal di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak pada Rabu.

GOMBAK - Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin yang terkorban dalam nahas udara dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak di sini pada Rabu.

Jenazah Wan Rezaudeen Kamal tiba di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati kira-kira jam 8.20 malam untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan di sini kira-kira jam 9.20 malam bagi urusan pengebumian.

Iklan
Iklan

Urusan pengebumian dilakukan mengikut istiadat ketenteraan tradisi TLDM yang dijalankan oleh sembilan pegawai dan 14 anggota yang mengiringi ketika jenazah tiba di tanah perkuburan.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Iklan

Ratusan individu terdiri daripada keluarga dan rakan hadir memberikan penghormatan terakhir.

Cuaca sebelum ini mendung selepas hujan renyai membasahi kawasan tanah perkuburan di sini.

Iklan
Suasana pilu menyelubungi sekitar pengebumian Wan Rezaudeen Kamal di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak pada Rabu.

Jenazah Allahyarham sebelum itu selesai proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 2.20 petang bersama sembilan mangsa yang lain.

Terdahulu, jenazah lapan daripada 10 kru TLDM itu dibawa ke Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja di Jalan Tambun di sini untuk solat jenazah.

Kesemua jenazah disembahyangkan di Surau Salahuddin Al Ayubi kem berkenaan sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi proses pengebumian.

Dua lagi mayat, Leftenan T Sivasutan dihantar terus ke kediaman keluarganya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan jenazah Leftenan Komander Amirulfaris Mohamad Marzukhi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan, Komander Muhammad Firdaus Ramli di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Komander Muhamad Amir Mohamad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Johor.

Mohamed Khaled turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Wan Rezaudeen Kamal di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak pada Rabu.

Jenazah Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Perak manakala Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun di Tanah Perkuburan Masjid Al- Muhtadin, Sik Dalam, Kedah.

Anggota wanita, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Nor, Rantau Panjang Selama, Perak manakala Bintara Muda Nor Rahiza Anuar di Tanah Perkuburan Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan, Kedah.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!