Mustapa dilantik Pengerusi Teraju

Iklan
Mustapa -Foto Bernama

SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi tempoh dua tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ahli Parlimen Jeli itu adalah seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Mustapa pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2009-2018), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan II (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Iklan

"Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan dengan kepimpinan baharu itu dan berharap agar usaha berterusan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing golongan bumiputera, sekali gus memantapkan lagi kedudukan mereka dalam ekonomi negara.

Iklan

Beliau berkata, selain ekonomi, TERAJU turut mempunyai peranan yang besar dalam menjamin kesejahteraan hidup dan mengangkat martabat bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.