Sunway Malls optimis terus jadi pilihan utama orang ramai

Iklan
Chan (tengah) bersama tetamu yang hadir pada pelancaran Sambutan Tahun Baharu Lunar Sunway Mall.
PUSAT beli-belah terkemuka, Sunway Malls optimis pencapaian perniagaannya kekal kukuh dan kedudukan pusat beli-belah itu menjadi pilihan utama orang ramai tahun ini seperti tahun 2018 dan mencatatkan perkembangan yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan berkata, jangkaan itu dipacu oleh keyakinan syarikat kepada kerajaan sedia ada dan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berada pada kedudukan yang baik.

"KDNK ialah penanda aras terhadap perniagaan kami dan merupakan komponen penting dalam mengukur kemajuan negara. Kami berharap pada tahun ini, keadaan ekonomi negara terus kekal stabil,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Sambutan Tahun Baharu Lunar Sunway Mall.

Chan berkata, Sunway Malls mempunyai lima pusat beli-belah melibatkan 2,000 premis dan 800 daripadanya terletak di Sunway Pyramid, Bandar Sunway.

"Malah, beberapa kategori perniagaan yang beroperasi di Sunway Malls menunjukkan perkembangan positif seperti makanan dan minuman, hiburan dan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Tahun Baru Lunar Sunway Malls, Chan berkata, Sunway Malls menerapkan Warisan Sukuan sebagai tema perayaan bagi memperkenalkan kepada pengunjung mengenai sukuan masyarakat Cina yang berbeza.

"Sukuan Hakka, Kantonis, Teochew, Hokien mahupun Hainan mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan pengunjung dapat mengalami suasananya sama ada di Sunway Pyramid di sini, Sunway Velocity, Sunway Putra, Sunway Carnival, Sunway Giza dan Sunway Citrine Hub. Ia diadakan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang menceriakan dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Chan berkata, setiap pusat membeli-belah akan menampilkan sukuan yang berbeza bertujuan memberi maklumat kepada pengunjung mengenai asal-usul pelbagai warisan Cina.

"Kebudayaan dan perayaan masyarakat Cina di Malaysia, terutama perayaan Tahun Baharu Lunar adalah gabungan pengaruh dari sukuan Cina yang berbeza. Nenek moyang kami yang berasal dari pelbagai daerah menjalin ikatan yang membentuk Malaysia hari ini.

"Di Sunway Malls, kami berasa bangga untuk memberi penghormatan kepada pengaruh mereka. Sunway Pyramid akan memperkenalkan budaya dan warisan Hakka, Sunway Velocity (Kantonis), Sunway Putra (Teochew), Sunway Carnival (Hokien), Sunway Giza (Hainan) dan Sunway Citrine Hub (Hainan),” katanya.

Turut diadakan sempena sambutan itu ialah hiasan dan pelbagai aktiviti menarik.