Ahmad Zahid selar gelar kepimpinan UMNO sebagai ‘biawak hidup’

Iklan
Ahmad Zahid beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat Banting pada Khamis.

BANTING - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan bekas ahli parti itu yang menyamakan kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'biawak hidup'.

Beliau berkata, ada pihak terutama dalam kalangan bekas ahli parti itu yang mengkritik dan mencipta kebencian dalam kalangan rakyat apabila Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilancarkan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

"Ada kumpulan yang mengatakan kononnya maklumat peribadi akan digunakan kerajaan terutamanya Kementerian Ekonomi untuk menggali maklumat-maklumat peribadi dan dikongsi dengan semua pihak, semua yang baharu pasti ada cabarannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat Banting pada Khamis.

Iklan

Ahmad Zahid dalam pada itu menganggarkan terdapat kira-kira 22 peratus pihak yang menentang apa sahaja inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan.

"Ini termasuklah bekas tokoh yang mengatakan seseorang itu biawak hidup, adakah biawak hidup itu akan memberi kesan kepada keputusan oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya.

Iklan

"Tanya diri sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain," katanya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, kumpulan ini terlalu banyak dalam negara dan jika tidak dibendung individu terbabit akan menjadi biawak hidup yang sebenarnya.

"Dalam menghadapi bulan Ramadan, umat Islam harus berada dalam keperibadian yang baik.

"Tetapi kalau agama jadi tunggangan dan alat untuk capai matlamat, agama hanya diperlukan bila ada kematian, majlis tahlil, maka orang itu adalah biawak hidup sebenar," ujarnya.

Bekas tokoh yang dirujuk oleh Zahid dipercayai bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin menerusi sesi podcastnya bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengemukakan persoalan sama ada persepsi bahawa kerajaan sedang terbeban atau dihalang oleh UMNO dan menyamakan parti itu adalah ‘biawak hidup’ dalam kerajaan Perpaduan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!