Drama terbaharu WSJ vs Najib

Iklan
KETIKA seluruh dunia memberi perhatian kepada rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China bagi menamatkan perang perdagangan yang berlanjutan sejak tahun lalu, tiba-tiba tercetus dua perkembangan di luar meja rundingan yang sedikit-sebanyak memberi impak kepada iklim rundingan berkenaan.

Pertama ialah tindakan Amerika mengirim kapal peronda di kawasan perairan Kepulauan Paracels yang dituntut China dan Vietnam di Laut China Selatan.

Perkembangan kedua yang lebih menarik perhatian kita ialah laporan terkini akhbar Wall Street Journal (WSJ) oleh dua wartawan pengarang buku skandal 1MDB, ‘Billion Dollar Whale’. Kedua-dua wartawan berkenaan – Tom Wright dan Bradley Hope – kali ini menerbitkan laporan bertajuk WSJ Investigation: China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in Return for Deals bertarikh 7 Januari 2019.

Iklan
Iklan

Menariknya, Datuk Seri Najib Razak telah membalas laporan ini dengan satu catatan panjang di akaun media sosial beliau pada hari yang sama.

Terdapat beberapa tuduhan besar yang dilaporkan dalam artikel terkini WSJ ini. Pertama ialah tudu-han bahawa Najib telah meminta Jho Low untuk merancang rundi-ngan dengan China bagi ‘menyelesaikan krisis’ yang melibatkan hutang 1MDB. Hasilnya, WSJ yang memetik sumber pegawai Malaysia (‘Malaysian Official’) menyatakan bahawa beberapa mesyuarat telah diadakan antara pihak Malaysia dengan China yang diatur oleh Jho Low sendiri.

Iklan

Tuduhan kedua yang dilaporkan WSJ kali ini adalah lebih serius: dalam salah satu mesyuarat berkenaan – atau lebih tepat lagi pada 29 Jun 2016 – seorang pegawai China yang senior iaitu Sun Lijun yang merupakan ketua pasukan keselamatan domestik China pada waktu itu telah berjanji untuk ‘memanfaatkan pengaruh China ke atas beberapa negara lain’ bagi menghentikan siasatan berhubung tuduhan kleptokrasi yang terjadi di 1MDB.

Tidak berhenti setakat itu, Sun Lijun juga ‘memberi jaminan’ kepada pihak Malaysia bahawa China melakukan pengawasan ke atas pejabat WSJ di Hong Kong sebagai ‘memenuhi permintaan Malaysia’. Langkah ala-perisikan ini didakwa diambil bagi mengetahui dari mana dan siapa yang memberi maklumat kepada WSJ tentang skandal 1MDB ketika itu.

Iklan

Sebagai balasan daripada semua bantuan China ini, Jho Low menawarkan dua projek gergasi yang lumayan kepada China – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP) – dengan pembiayaan bank China.

Laporan WSJ ini juga menyebut nama pegawai China yang terlibat: Xiao Yaqing iaitu pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik China.

Dalam mesyuarat bertarikh 28 Jun 2016, Xiao Yaqing dicatatkan sebagai menyebut secara terbuka bahawa kedua-dua projek ECRL dan TSGP ini mestilah diatur agar ‘kelihatan’ mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada hakikatnya, dalam mesyuarat tersebut dilaporkan bahawa kesemua pihak berbincang cara untuk menjadikan agar projek-projek tersebut dilaksanakan dengan kos yang lebih besar berbanding kos sebenar bagi tujuan ‘membayar hutang 1MDB, rasuah, dan lain-lain’.

Malah, Xiao Yaqing juga telah ‘membatalkan kesemua temu janji penting di Beijing’ untuk hadir ke mesyuarat dengan Jho Low ini kerana urusan ini ‘telah diluluskan oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang’ sendiri.

Konsesi paling signifikan diberikan Najib kepada China menurut WSJ ialah kebenaran untuk China melabuhkan kapal perang mereka di dua pelabuhan milik Malaysia. Namun demikian, tuduhan ini telah dijawab Najib sendiri di mana menurut beliau ‘Malaysia ialah negara berkecuali dan kapal tentera dari mana-mana negara berhak dan sering berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia’ termasuklah kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan Rusia.

Dalam kes Projek TSGP, Najib menegaskan bahawa panjangnya ialah 662km dan bernilai RM4.06 bilion, jauh lebih rendah berbanding projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline yang panjangnya 500km dengan kos RM4.6 bilion.

Tuduhan bahawa kos ECRL hanya bernilai RM30 bilion pula menurut Najib adalah kajian yang dibuat pada 2009 untuk jarak 545km sahaja, sedangkan ia kemudiannya dilanjutkan kepada 620km selain memerlukan pembinaan terowong sepanjang 50km merentasi Banjaran Titiwangsa. Soalnya kini, mengapa China hanya berdiam diri dengan tuduhan WSJ ini?

* Penulis ialah pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)