Lemas: Operasi mencari diperluas ke perairan Marang

Iklan
Anggota bomba turut membuat pencarian di kawasan pantai. Gambar kecil: Rozizah

KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Chendering yang dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Pandak di sini, petang semalam diperluaskan sehingga ke perairan Marang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, operasi yang memasuki hari kedua itu dipertingkatkan dengan radius yang lebih besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain pencarian di laut, pihaknya turut memfokuskan pencarian di kawasan pesisir pantai.

"Rondaan di pesisir pantai kita perluaskan sehingga 1.5 kilometer kiri dan kanan dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Iklan

"Operasi kali ini turut menggunakan aset-aset di air seperti bot dan kapal dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan pencarian dilakukan di perairan Kuala Terengganu dan Marang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Seramai 40 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi seperti bomba, APMM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua ini.

Iklan

Dalam kejadian petang semalam, tiga penuntut UiTM cawangan Chendering dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Pandak.

Salah seorang daripada mangsa, Muhammad Nazrim Mat Asri, 20, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi, Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemui lemas jam 9.50 malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Tengku Muhammad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan masih lagi hilang. Sementara itu, difahamkan jenazah mangsa, Mohd Nor Hishamudin telah dibawa pulang ke Ipoh jam 11.30 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tak pandai berenang, tak boleh buat apa-apa'