Nasib warga Palestin makin tak menentu

Iklan
Kanak-kanak Palestin berkumpul untuk menunggu bekalan makanan di Beit Lahia, utara Genting Gaza. AFP

GAZA CITY - Perasaan sabar penduduk Gaza semakin terhakis apabila bekalan makanan hampir tiada langsung sehingga mencetuskan protes.

Seorang kanak-kanak mengangkat sepanduk bertulis 'Kami tidak mati akibat serangan udara, tetapi kami mati akibat kelaparan'.

Iklan
Iklan

Seorang lagi mengangkat sepanduk bertulis 'Kebuluran semakin teruk' manakala penunjuk perasaan lain melaungkan 'Tidak kepada kelaparan. Tiada pembunuhan beramai-ramai dan sekatan bekalan makanan'.

Seorang kanak-kanak perempuan memegang bekas nasi di luar sebuah kem di Rafah. - AFP

Pada masa sama, sebahagian besar kanak-kanak memegang bekas plastik mencari sisa makanan sekiranya ada.

Iklan

Dengan bekalan makanan semakin berkurangan dan kos meningkat, sekilogram beras telah mencecah harga daripada AS$1.90 (RM9.40) kepada AS$15 (RM71.40).

Sementara itu, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa kekurangan makanan yang membimbangkan selain peningkatan kekurangan zat makanan dan penyakit boleh membawa kepada 'ledakan' kematian dalam kalangan kanak-kanak di Gaza.

Iklan

Difahamkan, satu daripada enam kanak-kanak berumur bawah dua tahun di Gaza telah mengalami kekurangan zat makanan akut.

Justeru, penduduk terpaksa memakan sisa jagung busuk, makan haiwan dan daun bagi menahan rasa lapar yang semakin hari semakin teruk.

Penduduk Palestin kini berdepan krisis kebuluran yang teruk akibat kekejaman rejim Zionis.

"Tiada makanan, gandum dan air. Kami telah mula meminta wang kepada jiran. Kami tidak mempunyai satu sen pun dalam rumah,” ujar seorang wanita.

KELAPARAN 'BUNUH' WARGA PALESTIN

Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Abu Gibrial sangat terdesak mencari makanan untuk menyara keluarganya sehingga terpaksa menyembelih dua ekor kuda kesayangan miliknya.

"Kami tiada pilihan lain selain menyembelih kuda untuk diberi makan kepada keluarga. Kelaparan membunuh kami secara perlahan-lahan,” jelasnya.Kem Jabalia adalah yang terbesar di dunia dan terletak di wilayah Palestin sebelum konflik Hamas-Israel bermula pada 7 Oktober lalu.

Abu, 60, melarikan diri ke kem tersebut dari Beit Hanum. Rumah mereka kini sebuah khemah yang terletak berhampiran sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di kem didiami 100,000 orang, mereka bukan sahaja berdepan air tercemar, bekalan kuasa terputus, malah kesesakan penduduk Palestin yang mencari kawasan selamat selepas rumah mereka dibom tentera Israel.

Rakyat Palestin berjalan melepasi runtuhan masjid Al-Faruq yang musnah akibat pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 27 Februari 2024. Foto AFP

Mereka kini kehabisan makanan, manakala misi agensi bantuan makanan disekat tentera rejim daripada memasuki wilayah tersebut.

Pada minggu lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, pasukannya melaporkan 'tahap terdesak yang belum pernah berlaku sebelum ini'.

Sementara itu, PBB memberi amaran bahawa 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, seorang bayi berusia dua bulan telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di hospital di Gaza City, terletak tujuh kilometer dari Jabalia.

Secara keseluruhan, hampir 30,000 orang telah terkorban dalam konflik Hamas- Israel. - Agensi