Polis tahan tujuh individu, rampas dua pistol

Iklan
Adzli (tiga dari kanan) menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas.

SUNGAI PETANI - Polis menahan tujuh individu dipercayai ahli Geng Ayya Kecik dan merampas dua pucuk pistol bersama 162 butir peluru dalam tiga serbuan Ops Api awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan tangkapan dan rampasan yang dilakukan, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun, satu kes mendatangkan kecederaan dan satu kes kecurian motosikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua suspek berusia 23 hingga 51 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine di mana seorang suspek mempunyai rekod orang dikehendaki dan dua lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Pada jam 7 malam, 1 Januari lalu, polis menerima maklumat daripada seorang remaja 16 tahun di mana motosikal yang dinaiki telah ditahan oleh sekumpulan lelaki dikesan sebagai ahli Geng 36 berdekatan Flat Paya Nahu sebelum motosikalnya dicuri.

Iklan

"Pada jam 2.30 pagi, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Berlian Indah dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama motosikal mangsa," katanya.

Adzli Abu Shah berkata, susulan kejadian polis melancarkan operasi khas Ops Api pada 4 Januari dan menahan lima lagi lelaki sekitar Sungai Petani.

Iklan

"Hasil soal siasat, salah seorang suspek telah memandu arah pasukan serbuan ke sebuah tokong di Kampung Pulau Hawaii dan berjaya merampas sepucuk pistol warna kelabu jenis Baretta yang disorok bawah batu dan satu unit kelopak peluru di dalamnya mengandungi 13 butir peluru dan satu kelonsong," katanya.

Peluru yang dirampas dalam serbuan Ops Api.

Katanya, hasil maklumat lanjut, polis juga telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 51 tahun disyaki mempunyai kaitan dengan Geng Ayya Kecik bersama sepucuk pistol jenis Revolver 0.22 dan 149 butir peluru.

Adzli berkata, keseluruhan rampasan membabitkan dua pucuk pistol, satu kelopak peluru, 162 butir peluru, satu kelongsong dan motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

Difahamkan, kumpulan ini menggunakan senjata api secara tidak sah bagi melindungi port pengedaran dadah ataupun meluaskan kawasan pengedaran dadah.

Dalam pada itu, Adzli berkata, Ketua Geng Ayya Kecik baharu sahaja pulang ke Sungai Petani tahun lalu setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam atas kesalahan langgar syarat orang kena sekatan di kawasan Pahang.