Azam Baki sahkan disaman Daim

Iklan
Azam Baki (kiri), Tun Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan menerima saman yang difailkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin terhadapnya.

Azam berkata, surat tuntutan saman oleh Daim itu menyatakan mengenai tindakan SPRM yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Saya tak boleh dedahkan maklumat berkaitan kerana kes itu sudah masuk mahkamah," katanya memetik laporan berita tempatan pada Jumaat.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog 'Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?' yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama sekiranya terdapat pihak yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

"Kadang-kadang kami tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Kami generasi baharu mungkin tak tahu," katanya.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan pasukan undang-undang mewakili Daim mendakwa Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dihadapi bekas Menteri Kewangan itu dan isu perundangan yang sedang dihadapi.

Jelas laporan itu, kenyataan berulang Azam mengenai Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Azam termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah

Menurutnya, kenyataan itu seolah-olah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan 'sumber' memburukkan lagi keadaan.

Baru-baru ini, Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).