Jumaat penghulu segala hari

Iklan
DATANG awal ke masjid pada hari Jumaat merupakan amalan sunnah yang besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT. - Foto Pexels

Disifatkan sebagai lebih agung daripada Aidilfitri, Aidiladha di sisi ALLAH SWT

BERBICARA mengenai hari Jumaat, antara perkara pertama yang timbul di fikiran adalah hari terakhir bekerja di dalam seminggu atau hari cuti bagi sesetengah negeri yang lain.

Bagi yang bekerja, hari Jumaat ada kalanya menjadi hari yang paling sibuk untuk menyiapkan tugasan sebelum bercuti.

Iklan
Iklan

Namun ada juga yang menganggap ia merupakan hari untuk bersantai-santai memandangkan adanya solat Jumaat pada tengah hari yang bermaksud boleh keluar pejabat awal dan masuk semula lebih lewat daripada kebiasaan berbanding hari-hari lain.

Ada juga yang lebih memahami kelebihan hari Jumaat dengan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW seperti datang awal ke masjid untuk solat Jumaat dan berwangi-wangian.

Iklan

Tahukah kita betapa besar dan agungnya hari Jumaat berbanding hari-hari lain?

Jumaat lebih utama daripada dua hari raya

Iklan

Mengulas mengenai keagungan hari Jumaat, Timbalan Dekan (Inovasi dan Penyelidikan), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, bahkan hari Jumaat lebih utama berbanding dua perayaan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW berbunyi: "Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang paling agung di sisi Allah, ia lebih besar di sisi ALLAH dari hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.

"Padanya ada lima perkara, iaitu hari ALLAH menjadikan Adam, hari ALLAH menurunkan Adam ke bumi, padanya ALLAH mematikan Adam dan padanya juga ada satu saat apabila seseorang itu tidak memohon sesuatu melainkan ALLAH memberikannya selagi dia tidak memohon sesuatu yang haram dan padanya (hari Jumaat) berlakulah hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

PROF MADYA DR AHMAD SANUSI AZMI

Selain itu katanya, sesiapa yang meninggal dunia pada hari tersebut juga tidak akan dikenakan azab kubur.

"Kemudian pada tengah hari pula, umat Islam dihidangkan dengan khutbah dan solat Jumaat. Suatu peringatan yang baik bagi kita.

"Pada akhirnya iaitu pada waktu Asar atau selepasnya pula merupakan waktu mustajab (diterima) doa. Secara umumnya Jumaat merupakan hari yang penuh dengan kebaikan dan bukan hari yang biasa-biasa,” katanya.

Jelasnya, itu belum dikira amalan sunat yang lain seperti membaca Surah al-Kahfi.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Sinar Jumu'ah yang bertajuk Ada Apa Dengan Jumaat? anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dipancarkan melalui platform Facebook dan YouTube QuranHour, Facebook Sinar Harian dan Sinar Islam Plus.

Forum turut menjemput Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai ahli panel manakala Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan pula bertindak sebagai Qari.

Ia dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail.

Tiga elemen khutbah yang perlu dikuasai

Mengulas mengenai peringatan yang disampaikan melalui khutbah Jumaat, Ahmad Sanusi menjelaskan, elemen khutbah perlu merangkumi tiga konsep iaitu tilawah (bacaan), taalim (mengajar) dan tazkiah (penyucian).

KHATIB perlu menguasai tiga elemen iaitu tilawah, taalim dan tazkiah agar penyampaian khutbah lebih berkesan. - Gambar Hiasan/Foto Pexels

Katanya, khatib perlu memahirkan diri dan menguasai ketiga-tiga elemen agar penyampaian khutbah berkesan.

"Bagi elemen taalim, antara kisah yang boleh diberi contoh ialah apabila Rasulullah SAW menegur Abu Umair dengan hanya beberapa patah perkataan iaitu: "Wahai Abu Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan?

"Bagaimanapun, luar biasa keadaannya apabila para ulama mengeluarkan begitu banyak intipati daripada lima patah perkataan hadis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, elemen tazkiah pula seperti kisah Imam Malik mengajar Imam Syafie mengenai sebuah bekas yang kotor dan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan air.

Jika tidak, air yang baru dimasukkan juga akan menjadi kotor.

"Ia membawa maksud hati yang kotor dipenuhi maksiat perlu dibersihkan terlebih dahulu,” katanya.

DR AHMAD SANUSI (dua dari kanan) bersama Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed (dua dari kiri), Muhammad Harith Hakimi (kanan) dan Ustaz Fazrul Ismail (kiri) dalam bual bicara Ada Apa Dengan Jumaat? anjuran WUIF.

Ahli panel itu turut membincangkan mengenai ayat ke-9 dan ke-10 Surah Al-Jumuah.

Mengulas mengenai ayat-ayat ini, Ahmad Sanusi menyatakan ia merupakan satu teguran kepada para sahabat Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang berkhutbah.

"Datang satu khalifah dagangan dan ramai daripada para sahabat meninggalkan Baginda, sehingga yang mendengar khutbah dikatakan hanya seramai 12 orang sahaja.

"Di sini ALLAH SWT hendak menekankan mengenai isu solat dan keberkatan dalam perniagaan. Dalam erti kata lain, bukan tak boleh berniaga, tapi selesaikan dahulu kewajipan solat. Apabila telah selesai, maka bertebaranlah untuk melaksanakan urusan masing-masing,” katanya.