Dewan Rakyat: Kaa Siong pelawa orang ramai cadang soalan

Iklan
Tangkap layar hantaran Kaa Siong di Facebook pada Selasa. Kaa Siong

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempelawa orang ramai memberi cadangan soalan yang akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat bermula 26 Februari hingga 27 Mac ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, soalan-soalan tersebut boleh diletakkan di ruangan komen media sosialnya untuk beliau bangkitkan di Parlimen nanti.

Iklan
Iklan

"Meneliti soalan-soalan untuk dihantar ke Parlimen bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang dijadualkan bersidang pada 26 Februari hingga 27 Mac 2024.

"Ada perkara yang hendak saya bangkitkan di Dewan Rakyat nanti? Letak di komen ya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu 19 hari.

Berdasarkan portal Parlimen Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan menyempurnakan pembukaan sidang menerusi Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen.

Iklan

Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja menyusul pada 27 Februari dan penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan bermula 11 hingga 14 Mac.

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan pula bakal berlangsung pada 18 hingga 27 Mac ketika Dewan Rakyat bersidang serentak dengan Dewan Negara.

Dalam pada itu, mesyuarat kedua tahun ini dijangka diadakan selama 15 hari iaitu 24 Jun hingga 18 Julai dan mesyuarat ketiga pula selama 35 hari bermula 7 Oktober hingga 5 Disember.

Sementara itu, pembentangan Belanjawan 2025 dijadualkan pada 11 Oktober jam 4 petang.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, manakala sesi petang pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.