Lalat askar hitam sumber alternatif utama makanan ternakan

Iklan
Lih Kang. Foto Bernama

KAJANG - Penggunaan larva lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF) sebagai sumber alternatif utama makanan ternakan mampu mengurangkan kebergantungan import negara terhadap bahan berkenaan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau berkata, satu penyelidikan berkaitan penggunaan larva tersebut bagi industri ternakan negara sedang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Abeco Nature Science Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

"Ini kerana larva lalat tersebut mempunyai kandungan protein tinggi dan sesuai untuk dijadikan makanan ternakan bagi menggantikan bahan makanan ternakan yang kita import.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) menandakan komitmen bersama FELDA dan Abeco Nature Science dalam penyelidikan itu yang dijangka siap dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Iklan

Menurutnya, alternatif itu juga merupakan antara usaha ke arah menjamin keselamatan dan kemampanan makanan negara, selain dapat membantu menstabilkan harga makanan serta menggalakkan sektor pertanian yang berdaya tahan.

Lih Kang berkata, penyelidikan tersebut juga memberi sumbangan penting dalam kemajuan Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, yang merupakan satu daripada tunjang utama dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Iklan

Katanya, penggunaan larva lalat itu juga menawarkan cara semula jadi untuk mengurangkan pergantungan antibiotik terutamanya dalam industri perladangan ternakan. - Bernama