Malaysia sokong penuh Laos selaku Pengerusi ASEAN

Iklan
Malaysia menyuarakan sokongan penuh kepada Laos selaku Pengerusi ASEAN 2024 dalam Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Luang Prabang pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Malaysia menyuarakan sokongan penuh kepada Laos selaku Pengerusi ASEAN 2024 dalam Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Luang Prabang pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut catatan di Facebook Wisma Putra sokongan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi Malaysia pada pemukiman berkenaan yang bermula pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad dalam catatan di Facebook beliau mengenai pemukiman itu berkata, selaku pengerusi bersama dan Permanent Shepherd High Level Task Force ASEAN Community Post-2025 Vision (HLTF-ACV) beliau telah memaklumkan bahawa pasukan petugas khas telah pun memulakan penggubalan Pelan Strategik ASEAN Political Security Community (APSC).

Iklan

Iklan

Menurut Mohamad kebimbangan terhadap konflik Palestin-Israel juga telah dizahirkan dan Malaysia menggesa rejim Israel menghentikan serta merta keganasan dan pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan kanak-kanak dan wanita di Palestin.

Beliau berkata, Malaysia juga mendesak supaya tiada perbezaan darjat dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa terutama melibatkan isu Palestin.

Begitu juga dengan situasi di Myanmar yang memerlukan kesatuan ASEAN bagi membantu memulihkan semula keadaan dalam negara tersebut seterusnya menangani isu berkenaan pelarian khususnya orang-orang Rohingya, kata Mohamad.

Malaysia turut menyatakan kebimbangan situasi di Laut China Selatan dan mendesak semua pihak agar menghormati kedaulatan serta keperluan untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama