Australia akhiri cabaran Indonesia di Qatar 2023

Iklan
Boyle bersaing dengan pemain Indonesia,Justin Hubner dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Qatar 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto: AFP

AUSTRALIA mengesahkan kemaraan ke pentas lapan terbaik Piala Asia 2023 selepas menewaskan Indonesia, 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 pada Ahad.

Dalam perlawanan di Stadium Jassim Bin Hamad itu, Socceroos asuhan Graham James Arnold terlebih dulu di depan hasil jaringan sendiri pemain kelab Liga Kejuaraan, Ipswich Town, Elkan Baggott minit ke-12.

Iklan
Iklan

Skuad Garuda pimpinan Shin Tae-yong yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan permainan mula mengasak memburu gol penyamaan.

Namun Socceroos yang kali terakhir menjulang kejuaraan berprestij bola sepak Asia itu pada 2015 di bumi sendiri tetap tenang mengekang asakan pasukan dari Asia Tenggara tersebut.

Iklan

Hasil penguasaan bola, Socceroos yang mara dengan status juara Kumpulan B melebarkan jaringan hasil sentuhan bintang kelab Liga Scotland, Hibernian, Martin Callie Boyle bagi menjadikan kedudukan 2-0 separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Australia tidak mengendurkan serangan sebaliknya terus mengasak bagi menambah jaringan ke atas Garuda yang mara dengan status pasukan ketiga terbaik Kumpulan D.

Iklan

Hasilnya pemain gantian, Craig Alexander Goodwin yang beraksi untuk kelab Liga Pro Saudi, Al-Wehda menambah jaringan pada minit ke-89 untuk pasukannya.

Harry James Souttar yang menyarung jersi kelab Liga Kejuaraan, Leicester City, menamatkan cabaran anak buah Tae-yong dengan gol keempat pada minit ke-91.

Sebagai rekod, Australia menjuarai edisi 2015 selepas menewaskan Korea Selatan, 2-1 dalam masa tambahan pada perlawanan akhir di Stadium Sydney, Australia.