Hapuskan pencen ahli politik, nilai semula gaji, elaun penjawat awam

Iklan
Syed Saddiq

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk menghapuskan pencen ahli politik terlebih dahulu dan menilai semula gaji serta elaun penjawat awam di negara ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dua perkara penting itu perlu dibawa dalam sidang Parlimen akan datang kerana langkah memansuhkan sistem berpencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap dilihat tidak wajar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, golongan berkenaan tidak lagi menerima pencen sedangkan pada masa sama, ahli politik masih menerimanya ‘bertingkat-tingkat’ yang jika digabungkan boleh mencecah RM100,000 sebulan iaitu 100 kali ganda daripada pencen penjawat awam biasa.

"Ini belum dicampurkan dengan habuan ‘government linked company’ (GLC), dulu kerajaan yang sama janjikan tidak akan membuat lantikan politik, tapi kini memperluaskan habuan GLC untuk ahli mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Langkah tersebut dikatakan bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan yang bakal menampung jumlah pencen sebanyak RM120 bilion setahun.

Iklan

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memaklumkan, penilaian semula gaji dan elaun penjawat awam perlu dilaksanakan kerana kali terakhir ia dinaikkan adalah pada 2013 iaitu 10 tahun lalu.

Tambah beliau, ada di antaranya berkhidmat dengan gaji permulaan RM1,441 walaupun gaji minimum ditetapkan pada RM1,500.

"Pegawai polis bersengkang mata bagi menjaga keselamatan orang awam tapi tidak dibayar elaun kerja lebih masa.

"Mereka hanya dibayar RM200 sebulan bagi menggantikan elaun kerja lebih masa. Ini masanya untuk kerajaan walk the talk,” ujarnya.