Polis teruskan siasatan kes khianat api rumah Koo Ham

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri

IPOH - Polis masih meneruskan siasatan bagi menjejak suspek dalam kes khianat api terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Manjung pada 10 Januari lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini, tiada tangkapan baharu dilakukan pihak polis bagi kes terbabit.

Iklan
Iklan

"Kita masih meneruskan siasatan untuk menjejak suspek, setakat ini tiada (saksi baharu yang dipanggil). Siasatan masih diteruskan, sekarang siasatan (tertumpu) di Perak," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Pada Selasa lepas, lelaki berumur 30-an yang ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api kerana disyaki melontar kediaman Ngeh dengan molotov cocktail dibebaskan dengan jaminan polis.

Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dalam satu kenyataan pada hari itu berkata lelaki terbabit akan menjadi saksi sekiranya diperlukan.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran itu menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superinteden Mohd Azalan Ab. Karim melalui talian 019-3927837 bagi membantu siasatan pihak polis.

Iklan

Dalam kejadian awal pagi 10 Januari lepas, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan. - Bernama