Prebet menyamar staf sarjan ceroboh rumah Panglima 3 Divisyen

Iklan
Muhammad Fikri (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, pada Isnin.

MELAKA - Anggota tentera berpangkat prebet didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyamar dan ceroboh rumah dalam Kem Terendak, Sungai Udang, pada November tahun lalu.

Muhammad Fikri Shaiff, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas dua pertuduhan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah perintah tetap Markas Garisan Terendak.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati telah memakai uniform lengkap angkatan tentera berpangkat staf sarjan dengan niat bahawa ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat itu.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan.

Iklan

Kedua-dua perbuatan terbabit dilakukan di Pos Seri Setia Kem Terendak, di sini kira-kira jam 6.09 pagi 14 November tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes dia sebelum ini berjawatan sebagai Staf Sarjan namun telah dilucutkan kerana tindakan disiplin dan berpangkat prebet yang sedang dalam proses diberhentikan kerja semasa kejadian.

Kesalahan pencerobohan yang dilakukan tertuduh di pekarangan Rumah Panglima 3 Divisyen dengan niat hendak menipu telah disedari anggota bertugas di Pos Seri Setia Kem Terendak Sungai Udang

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dalam proses dokumentasi untuk tamat tugas selain perlu menjaga ibu yang berusia.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi pertuduhan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda RM400 atau jika tidak boleh dipenjara 10 hari.