Kemalangan maut di tempat kerja, KSM arah laporan penuh disiapkan segera

Iklan
Steven Sim mengadakan sidang akhbar selepas melawat keluarga mendiang R Tinesh Kumar pada Sabtu. - Foto: Bernama

GEORGE TOWN - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan laporan penuh berhubung dua insiden kemalangan maut di tempat kerja membabitkan pekerja penyelenggara lif di pusat beli-belah di Jalan Burma di sini dan pekerja pembersihan di kilang kitar semula di Banting, Selangor, disiapkan segera.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, siasatan dan laporan akhir itu perlu disiapkan segera untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KSM turut mengingatkan majikan agar sentiasa bertanggungjawab mengawal risiko di tempat kerja bagi memastikan kawasan persekitaran di tempat kerja adalah selamat.

"Siasatan dan laporan akhir kita telah arahkan untuk dipercepatkan agar dapat beri keadilan kepada mangsa, mungkin dalam seminggu dua ini ia dapat disiapkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ziarah Prihatin di Taman Sri Pinang dekat sini pada Sabtu

Iklan

Beliau meluangkan masa menziarahi keluarga pekerja penyelenggara lif, R. Tinesh Kumar, 28, yang maut selepas kepalanya tersepit di lif yang sedang dibaiki di sebuah pusat beli-belah di Jalan Burma, Selasa lepas.

Pada Rabu pula, seorang pekerja kilang di Banting, Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, maut selepas terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang kitar semula.

Iklan

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, nasib keluarga mendiang Tinesh Kumar terbela apabila mereka layak menerima faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menurutnya semakan rekod caruman melayakkan waris mendiang menerima bayaran berkala Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) hingga RM2,000 secara sekali bayar.

''Mendiang belum berkahwin, justeru faedah berkenaan akan diberikan kepada bapa, N.Ramachandran, 54, dan ibunya, R.Saraswaty, 51. Mereka akan menerima bayaran FOT untuk sepanjang hayat,'' katanya.

Sementara itu, Ramachandran berkata, mendiang Tinesh Kumar merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan telah tiga tahun bekerja di syarikat penyelenggara lif tersebut.

''Kami sekeluarga sangat terasa dengan kehilangan Tinesh kerana dia seorang anak yang baik. Saya terima kejadian yang menimpa anak saya itu walaupun sangat perit...kami juga mengucapkan terima kasih kepada PERKESO kerana tmembantu kami,'' katanya. - Bernama