RM910.52 juta atasi banjir di Kelantan - Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim (empat dari kiri) menyertai mesyuarat tertutup ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan. - Foto Bernama

PASIR MAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM910.52 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kelantan.

Menurut beliau, ia melibatkan lima projek baharu yang dijangka dimulakan proses perolehan pada tahun hadapan.

Iklan
Iklan

"Projek paling utama ialah PLSB (Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) Sungai Golok Fasa 2.

"Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf rumah pam Istana, Kota Bharu," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Beliau sebelum itu menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Iklan

Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, projek ketiga ialah menaik taraf saliran bagi mengatasi banjir di Pasar Kedai Mulong.

Ujarnya, projek naik taraf saliran bagi mencegah banjir di Ketereh turut termasuk dalam cadangan tersebut.

Menurut Anwar, seterusnya projek membina dan menaiktaraf saliran bagi mengatasi masalah banjir di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan pemuliharaan pantai di Airport City Sabak.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 18 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.42 bilion sedang dijalankan pada tahun semasa.

"Pada Januari 2024 JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dijangka akan melaksanakan dua projek iaitu PLSB Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2," ujar beliau.